Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin berkata parti itu menyerahkan kepada pengundi untuk menilai calon yang bertanding.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin berkata, partinya menghormati prinsip demokrasi dan tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan mana-mana parti di kerusi ditandinginya.
“Jika ada mana-mana parti mahu bertanding di kerusi DAP, tiada masalah. Kami serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan.
“Namun, DAP berharap semua parti dan calon bertanding secara sihat serta tidak menggunakan isu 3R (kaum, agama, raja) dalam kempen PRN kali ini,” katanya kepada FMT.
Cha berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan PAS meletakkan calon di beberapa kerusi tradisi DAP di Negeri Sembilan pada PRN 1 Ogos depan.
Mengulas sama ada kehadiran calon PAS boleh menjejaskan usaha DAP menarik sokongan pengundi Melayu, Ahli Parlimen Rasah itu berkata perkara berkenaan akhirnya terpulang kepada penilaian rakyat.
Katanya, DAP akan mempertahankan semua 11 kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada PRN lalu, selain membantu calon parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Kami mahu kemenangan bersama dalam kerangka PH dan seterusnya membentuk kerajaan negeri PH selepas PRN di Negeri Sembilan,” katanya.
Sinar Harian hari ini melaporkan Ketua PAS Negeri Sembilan Mohd Fairuz Mohd Isa tidak menolak kemungkinan parti itu meletakkan calon di beberapa kerusi tradisi DAP.
Beliau berkata, PAS menyasarkan bertanding di lebih 10 kerusi DUN, termasuk mempertahankan tiga kerusi dimenanginya sebelum ini.
Pada PRN 2023, Perikatan Nasional memenangi lima daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.
PAS menang di Paroi, Serting dan Bagan Pinang, manakala Bersatu menang di Labu dan Gemencheh. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.