maranPETALING JAYA: Pengerusi PPBM Pahang, Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil mengakui pertarungan di kerusi Parlimen Maran antara paling sukar yang dihadapi parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada FMT, katanya, PPBM bakal berdepan cabaran menentang seorang timbalan menteri di kerusi Parlimen Maran yang mempunyai 95% pengundi Melayu dan Kuala Sentul yang merupakan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili adun kerap turun padang.
Maran yang terletak di antara Temerloh dan Kuantan, dikelilingi hutan dan ladang kelapa sawit yang dikendalikan Felda Jengka, penempatan Felda terbesar di Malaysia.
Maran menjadi kerusi Parlimen pada 1974 dan menjadi kubu kuat Umno sejak itu. Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang dilantik sebagai timbalan menteri sumber manusia selepas PRU13, dipilih sebagai ahli Parlimen Maran sejak PRU11.
Walaupun populariti Ismail dilihat merosot secara perlahan, beliau bagaimanapun berjaya meraih lebih 19,000 undi berbanding kira-kira 12,000 undi diperoleh calon PAS, Mujibur Rahman pada PRU13.
PAS bertanding di kerusi itu sejak 1978, tetapi tidak mampu mencabar sokongan diraih Umno di kawasan itu, walaupun pernah meletakkan pemimpinnya seperti Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan.
Kuala Sentul adalah satu daripada 3 kerusi DUN dalam Maran, 2 lagi dalah Luit dan Chenor.
Kuala Sentul dipegang Datuk Shahaniza Samsuddin yang mengambil alih kerusi itu daripada Datuk Rosni Zahari pada 2008. Majoriti diperoleh Shahaniza meningkat sebanyak 1,000 undi pada PRU13 berbanding pencapaiannya pada PRU12.
Adun Chenor, Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail juga mempunyai pencapaian baik pada PRU13. Beliau mendapat kelebihan 7,292 undi mengalahkan calon PAS, Hasenan Haron yang hanya memperoleh 4,983 undi.
Bagaimanapun, Luit hampir jatuh ke tangan calon PAS, M Shahrul Nizam Abdul Haliff pada PRU13 apabila Nurhidayah Mohamad Shahaimi sekadar menang dengan majoriti tipis 400 undi.
PPBM mencari kelemahan pihak lawan di kerusi itu untuk dimanfaatkan partinya.
Kelemahan itu disertakan penembusan yang PPBM dakwa dilakukan di penempatan Felda, membuatkan Wan Shahrir percaya tidak mustahil untuk partinya mengalahkan Umno di Maran.
Katanya, PPBM akan menumpukan perhatian untuk meraih undi bukan hanya di Luit, tetapi juga Chenor.
“BN kuat di penempatan Felda di Chenor, termasuk Sungai Nerek, Kampung Awah dan Jengka 7, tetapi dengan masalah dihadapi peneroka, ada peluang untuk mengubah sokongan mereka.
“Jika Luit dan Chenor boleh ditawan, BN akan jatuh di Maran.”
Satu-satunya masa pembangkang hampir menang menentang BN di Maran adalah 1999, semasa era Reformasi. Calon PAS, Tengku Puji Abdul Hamid berjaya meraih 44% undi. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.