Video oleh Raja Jaafar Ali
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meminta pengundi di kawasan berkenaan menaikkan semula majoriti serta merampas semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling dan menaikkan majoriti DUN Kempas.
Beliau berkata, Nur Jazlan merupakan seorang wakil rakyat yang bekerja kuat di kawasannya biarpun terdapat kekangan malah sudah memberikan perkhidmatan terbaik dan adil kepada pengundi berbilang kaum di situ.
“Kita tahu di Pulai ini kita peroleh undi menurun sikit pada pilihan raya umum lepas. Di (DUN) Kempas agak menurun, Perling kecundang.
“Saya minta seluruh pengundi Pulai naikkan majoriti Parlimen Pulai. Kita naikkan majoriti Kempas, kita rampas Perling,” katanya berucap pada majlis Himpunan Sukarelawan AADK & Trust @ Teras Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Nur Jazlan Mohamed yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan yang dibawa Nur Jazlan cukup luar biasa dengan membawa pelbagai projek berjumlah RM776.4 juta sejak pilihan raya umum lepas hingga kini.
– UTUSAN ONLINE