`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 30, 2018

RAKYAT SEDANG DIASAK KE DINDING UNTUK AKUR DENGAN KEMENANGAN NAJIB DAN BN

Hakikat bahawa persempadanan baru kawasan pilihanraya dan akta berita palsu adalah senjata baru bagi Najib Razak untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang semakin tidak dapat disangkal lagi.
Kedua-duanya terus diusulkan di Parlimen, meskipun bantahan kelihatan nyata dan memuncak di mana-mana.
Usul persempadanan baru kawasan pilihanraya hanya dibahaskan dalam tempoh kira-kira 4 jam sebelum diluluskan di mana 5 Ahli Parlimen pembangkang sekadar diberi masa selama 10 minit untuk berhujah dan membahaskannya.
Ini mungkin merupakan rang undang-undang paling pantas sekali pernah diluluskan oleh Parlimen.
Ia berbeza dengan rang undang-undang lain, malah keistimewaannya melebihi RUU 355 untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang telah tertangguh sejak beberapa sessi Parlimen yang lalu.
Dalam hal ini, di manakah sebenarnya perjuangan mahu meningkatkan martabat Islam di mata pemimpin UMNO dan BN?
Bahkan hakikat ini semakin mengesahkan bahawa RUU 355 itu tidak lebih hanya untuk membuai perasaan pemimpin-pemimpin Pas untuk terus mendekat dan berbaik-baik dengan UMNO bagi kepentingan kuasa Najib yang semakin longgar dan hampir terkulai.
Begitu juga dengan akta berita palsu, setelah bacaan kali kedua dilakukan semalam, sudah pasti ia akan diluluskan pada minggu depan apabila sidang Parlimen disambung pada Isnin.
Kedua-dua rang undang-undang ini sengaja dibentang dan diluluskan untuk kepentingan Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya.
Pada kebiasaannya, persempadanan baru kawasan pilihanraya diadakan setiap 10 tahun sekali. Kali terakhir persempadanan baru diadakan ialah pada 2003.
Meskipun BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga sejak 2008 untuk membolehkannya menambah kawasan-kawasan pilihanraya baru, lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya ini sepatutnya diadakan sebelum PRU 2013 lalu iaitu 10 tahun selepas kali terakhir ia dilakukan pada 2003.
Kenapakah  SPR tidak melakukannya sebelum PRU 2013 yang lalu?
Kenapa hanya menjelang PRU 14 di mana sokongan rakyat terhadap Najib begitu merosot dan beliau sendiri terpalit dengan skandal mega 1MDB, maka baru lakaran baru kawasan pilihanraya mahu dilakukan?
Hal yang sama juga berkaitan akta berita palsu, kenapa hanya setelah Najib, UMNO dan BN terlihat kalah dalam perang media sosial dan rakyat semakin berani menunjuklan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinannya, barulah akta berita palsu mahu diwujudkan?
Apakah tidak cukup lagi undang-undang jenayah, akta hasutan serta akta komunikasi dan multimedia untuk membendung berita-berita yang dianggap palsu itu?
Selepas akta berita palsu dikuatkuasakan nanti, siapakah yang mahu menangkap dan mendakwa Najib jika dalam ucapan dalam kempen-kempen pilihanrayanya, beliau terus menyatakan kepalsuan seperti Pakatan Harapan dikuasai DAP, perjuangan Tun Mahathir ialah untuk menaikkan anaknya Mukhriz sebagai Perdana Menteri dan segala bantuan kerajaan akan dihentikan apabila gabungan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara?
Ternyata akta berita palsu ini adalah untuk kegunaan sewaktu kempen pilihanraya dengan kerajaan yang masih dikuasai BN, ia dengan mudah akan mengkategorikan semua berita yang tidak memihak kepada BN sebagai berita palsu yang membolehkan penyebarnya dihukum sehingga penjara 6 tahun dan denda RM500 ribu.
Secara tersirat dan nyata, akta ini adalah untuk menakut-nakutkan rakyat dan menghalang mereka daripada mendedahkan keburukan pemimpin UMNO dan BN, meskipun hakikatnya skandal sedang berselirat di merata-rata.
Bersama lakaran baru kawasan pilihanraya dan akta berita palsu ini, kedua-duanya adalah bertujuan mengasak rakyat hingga ke dinding dan akhirnya akur dengan kemenangan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Melalui persempadanan baru yang tidak adil, rakyat dipaksa akur dengan kemenangan BN, meskipun sokongan undi popular yang diraih hanya serendah 40 peratus saja, manakala melalui akta berita palsu, keakuran itu cuba dijelmalkan melalui ketakutan terhadap rakyat untuk membayar denda tinggi dan mungkin mengalami kehidupan di penjara.
Itulah tujuan sebenarnya, bahawa tanpa sokongan majoriti atau dalam keadaan rakyat tidak puas hati terhadap sekian banyak skandal sekali pun, kemenangan tetap berpihak kepada BN.
Lalu, di manakah letaknya maruah Najib, UMNO dan BN dengan kemenangan yang mahu dicapai dengan cara begitu?
– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.