`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 16, 2018

TIADA PELAJAR JAYAKAN HIMPUNAN JENTERA PEMUDA, PUTERI UMNO

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menjelaskan tidak berlaku penglibatan pelajar tingkatan empat dan lima di daerah Muar, diarahkan menjayakan program Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional (BN) di Pagoh, Sabtu lepas.
JPNJ dalam satu kenyataan semalam, berkata penglibatan pelajar berkenaan tidak berlaku ekoran keputusan Pejabat Pendidikan Daerah Muar menarik balik surat arahan tersebut setelah menyedari program berkenaan bersifat politik.
Menurut kenyataan itu, Sekolah Agama Pontian Besar seperti yang tular dalam media sosial berhubung penglibatan pelajar dalam program sama, bukannya sekolah di bawah seliaan jabatan berkenaan dan Kementerian Pendidikan.
“Berhubung murid tingkatan empat dan lima di daerah Muar diarahkan hadir menjayakan program politik Umno/BN dengan memakai baju berwarna biru, jabatan ingin memaklumkan penglibatan murid tersebut tidak berlaku memandangkan Pejabat Pendidikan Daerah Muar telah menarik balik surat arahan tersebut setelah menyedari program itu bersifat politik,” menurut kenyataan itu.
Sebuah akhbar tempatan pada 13 Mac lepas dalam portal beritanya menerbitkan laporan berhubung penglibatan pelajar sekolah di majlis perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional.
Akhbar berkenaan melaporkan bahawa Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dengan tindakan pihak Kementerian Pendidikan dan JPNJ yang membenarkan pelajar dijadikan alat politik.
Presiden Pendidik Normala Sudirman dilaporkan berkata alasan biasa digunakan untuk ‘menghalalkan’ semua itu berlaku dan guru tidak dibenarkan berpolitik seperti diumumkan Kementerian Pendidikan jelas hanyalah retorik semata-mata.
Dalam kenyataan itu juga, JPNJ memaklumkan surat arahan tersebut merujuk kepada program lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Parlimen Pagoh dan bukannya program seperti yang ditularkan.
JPNJ sentiasa akur dan mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 9/2004 bertajuk Panduan Penglibatan Murid Sekolah Dalam Program Atau Aktiviti Anjuran Agensi Selain Daripada Agensi Di Bawah Kementerian Pendidikan, dengan setiap aktiviti yang memerlukan penglibatan murid mestilah mendapatkan kebenaran Pengarah Pendidikan Negeri Johor terlebih dahulu, menurut kenyataan itu.
– Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.