`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 7, 2018

TUN MAHATHIR SEMAKIN MENDAHULUI, MEMILIH NAJIB UMPAMA MENJERUT LEHER SENDIRI

Esok, Pakatan Harapan akan membentangkan manifestonya bagi menghadapi PRU 14 akan datang. Ini bukan saja suatu langkah ke hadapan yang diambil Pakatan Harapan bagi menumbangkan BN, tetapi juga bertujuan menambah keyakinan rakyat terhadap gabungan pembangkang yang bakal bertukar menjadi kerajaan selepas ini.
Antara intipati manifesto Pakatan Harapan kali ini ialah menambahkan wang dalam poket dan pendapatan boleh guna rakyat, selain meningkat lagi simpanan mereka.
Pada minggu depan pula, Pakatan Harapan akan memutuskan satu logo yang dipersetujui bersama bagi menandingi BN dalam pilihanraya nanti.
Pemilihan satu logo itu terpaksa dibuat kerana RoS sehingga kini masih bisu, pekak dan tuli terhadap permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan gabungan tersebut secara sah.
Setelah sebelum ini Pakatan Harapan diminta mengubahsuai logonya, kemudian Ketua Pengarah RoS yang lama dipindahkan dan ditukar dengan Suriati Ibrahim yang ada sekarang, sejak itu RoS terus senyap sunyi terhadap status permohonan tersebut.
Tiada khabar berita dan tiada surat dihantar untuk menjelaskan kedudukan.
Sebelum ini, Pakatan Harapan juga telah memutuskan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri serta menyelesaikan soal pembahagian kerusi antara keempat-empat parti dalam gabungannya.
Di Semenanjung yang mempunyai 165 kerusi, Bersatu diperuntukkan 52, PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Melalui penyelesaian pembahagian kerusi dan pemilihan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, soal dominasi DAP dalam Pakatan Harapan dan kononnya Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri yang selama ini menjadi mainan UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat dengan sendirinya telah terpadam dan menjadi basi.
Malah dengan pemilihan Tun Mahathir, bukan saja keyakinan rakyat dan pengundi jadi bertambah, malah juga menjadikan kepercayaan antarabangsa turut melimpah.
Iyalah…kalau pun mengumpamakan Tun Mahathir dan Najib ibarat permata dan kaca mungkin agak keterlaluan, tetapi barangkali tiada yang menolak jika perbandingannya ialah antara anggur manis dengan anggur yang masam.
Selain itu, Tun Mahathir juga mengumumkan dasar baru Pakatan Harapan di mana Perdana Menteri hanya akan memenang jawatan selama dua penggal saja, selain saiz kabinet akan dikecilkan bagi menjimatkan wang rakyat.
Tetapi, bagi Tun Mahathir sendiri, beliau telah pun memberi komitmen tidak akan menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun. Tujuan beliau kali ini hanyalah untuk menyelamatkan negara dan membersihkan daki serta karat yang diakibat dan ditinggalkan oleh Najib.
Dengan pengalaman menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, Tun Mahathir tentu saja tidak memerlukan banyak masa untuk menangani semua permasalahan serta memulihkan keadaan negara.
Jawatankuasa dwi-partisan akan turut ditubuhkan untuk melantik pegawai tinggi kerajaan seperti Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bagi mengelakkan salah guna kuasa mereka yang sedang berkuasa.
Lebih daripada itu, selain menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak untuk keselesaan rakyat, membatalkan ECRL yang dihutang daripada China dan menyiasat ke akar umbi skandal 1MDB, Tun Mahathir juga menjanjikan lebih keseronokan dengan komitmen untuk menangkap serta membawa Najib dan Jho Low ke muka pengadilan sebagai antara hadiah awal kemenangan Pakatan Harapan.
Menangkap dan membawa ke muka pengadilan kedua-duanya itu, tidak saja untuk mendedahkan skandal 1MDB, tetapi tentunya juga untuk mendapatkan kembali beribu-ribu juta wang yang hilang selama ini.
Semua langkah yang diambil satu demi satu oleh Pakatan Harapan kebelakangan ini tidak saja menjadikan gabungan itu lebih  ke depan dan diyakini, tetapi juga membuatkan Tun Mahathir sentiasa mendahului Najib untuk lebih dulu menggamit hati rakyat menuju Putrajaya.
Sementara masih banyak perkara belum selesai dalam BN, seperti pembahagian kerusi dan manifesto misalnya, selain isu dan masalah yang tidak putus-putus membelenggu Najib, terus memilih BN adalah suatu kerugian paling nyata bagi rakyat.
Mengekalkan Najib, UMNO dan BN bukan saja mengekalkan semua masalah yang ada untuk terus ditanggung rakyat, malahan kalau pun tidak menuju “jalan mati”, ia tidak kurang umpama menjerut leher sendiri.
-shahbudindotcom.blogspot

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.