Rata-rata rakyat tidak lagi melihat Umno sebagai pejuang nasib, malah gagal menarik minat golongan Melayu muda dan profesional.
KOMEN
Oleh Danni Rais
Tarikh keramat 9 Mei 2018, akan sentiasa diingati sebagai tarikh bersejarah rakyat Malaysia memilih perubahan menerusi kuasa mereka di peti undi.
Dalam keghairahan majoriti rakyat Malaysia menyambut “kemenangan” yang lama dinantikan, wajar kita mula bertenang dan mula mengalihkan fokus terhadap perjalanan yang masih panjang di hadapan kita.
Tanpa disangka, Pakatan Harapan (PH) merekodkan kejayaan yang tidak dapat disangkal, walhal parti yang memegang tampuk pemerintahan Malaysia untuk 61 tahun, Barisan Nasional (BN), atau apa sahaja yang berbaki tinggal daripadanya, jelas, mempunyai jalan yang masih begitu panjang di hadapan mereka dalam menuju reformasi.
Hal ini sangat penting, kerana sesebuah proses demokratik itu tidak akan berfungsi dengan baik dengan hanya satu pakatan yang memegang tampuk pemerintahan tanpa diimbangi oleh barisan pembangkang yang kuat.
BN perlu menyahut cabaran ini. Tidak dinafikan hal ini bakal memakan masa. BN sebelum itu perlu menjalani proses “mencari” atau muhasabah diri.
Keputusan PRU14 kali ini jelas membuktikan kebenaran Tsunami Melayu yang digeruni BN. Dengan sokongan kaum-kaum lain, satu demi satu negeri rebah jatuh ke tangan PH.
Kemampuan PH untuk meyakinkan rakyat, di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih kekal bertenaga bagaikan orang muda, memang sama sekali tidak dijangkakan.
PAS turut memaparkan kejutan, lantas menunjukkan yang mereka jelas masih kekal relevan walaupun ramai pihak yang ragu-ragu dengan kedudukan mereka menuju ke PRU14.
Dengan rekod prestasi pembangunan yang dibawakan BN beserta perancangan penuh rapi yang diuar-uarkan untuk masa hadapan negara, di mana letaknya salah BN? Bagaimana bisa BN bangkit kembali semula?
Pertama, BN perlu menyelesaikan isu paling utama menyelubungi Umno iaitu kesahihan. Seperti kata orang, “ada hikmah di sebaliknya,” maka mungkin peristiwa ini menjadi petanda yang pertama dan yang paling jelas suatu perubahan serius mesti dipertimbangkan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), atau lebih dikenali sebagai “RoS”, tentu sekali tidak akan membiarkan isu kesahihan penubuhan Umno begitu sahaja, tidak paling tidak atas desakan kerajaan yang baru.
Tentu ada pihak-pihak yang akan terus menjadikan status Umno sebagai sebuah pertubuhan yang tidak sah ini sebagai prioriti mereka, walau apa jua keputusan RoS.
Umno banyak menaburkan jasa kepada negara dan bangsa Melayu selama ini; tidak ramai orang yang dapat menafikan hakikat ini. Namun, hari tak selamanya panas. Rata-rata rakyat tidak lagi melihat Umno sebagai pejuang nasib.
Benar, Umno perlu melihat fenomena ini sebagai isyarat untuk melakukan perubahan yang drastik, tetapi sebelum itu Umno perlu menerima dan mendalami hakikat baru ini secara jujurnya dengan melihat semula kepada diri sendiri. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kepada kehendak politik (‘political will’) yang tinggi, tetapi juga kemahuan sebenar untuk berubah menjadi parti yang menghormati serta menyantuni minda dan hati sanubari orang ramai.
Mungkin tiba masanya untuk membahaskan semula wacana keahlian secara terus (‘direct membership’) ke dalam BN. Dengan keretakan yang dialami Umno setelah kehilangan tampuk pemerintahan negara dalam detik bersejarah ini, BN sebagai satu pakatan pula jelas mula kehilangan asasnya.
Apa jua parti baharu yang bakal ditubuhkan kelak mesti menentukan hala tujunya, terutamanya dari segi ideologi dan bayangan pembangunan jangka masa panjang, sama ada ke arah pembangunan yang lebih berfokuskan idea-idea liberalisme (progresif) ataupun ke arah yang lebih konservatif dengan niat menegakkan semula prinsip asal penubuhan negara bangsa kita, misalnya nilai-nilai yang diterapkan oleh Rukun Negara.
Sehingga kini, BN hidup atas dasar politik perkauman. Keputusan PRU14 kali ini menunjukkan tiada lagi tempat untuk permainan politik sedemikian dalam masa hadapan Malaysia.
Memang tidak dapat dinafikan jika ditelusuri secara halusnya, beberapa parti komponen PH juga masing-masing didominasi oleh kumpulan etnik tertentu. Namun, setiap mereka secara rasminya membuka keahlian kepada semua kaum, lantas secara umumnya menjadikan mereka lebih bersedia dan lebih relevan untuk menghadapi lanskap masa depan Malaysia yang lebih toleran sesama kaum.
Sudah menjadi kemestian kini untuk barisan pembangkang baru ini menubuhkan sebuah entiti politik yang tidak berasaskan kaum di mana hanya ada satu bangsa yang boleh menguasai atau menakluki kedaulatan bangsa-bangsa lain, seterusnya menguburkan sama sekali ketakutan ini dari terus-menerus menghantui kita.
Parti baharu ini wajar membuka keahlian kepada rakyat berbilang kaum dan buat pertama kalinya menjadi parti yang mewakili rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam erti kata sebenar.
Paradigma baru ini tidak sama sekali bermaksud hak-hak yang termeterai jelas dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan diabaikan. Malah, peluang ini harus digunakan untuk menyingkap kembali hasrat murni isi artikel berikut dengan lensa yang baru dan pandangan alam yang dikemaskini.
Sering dilupakan juga, Perlembagaan Persekutuan tidak menidakkan kepentingan sah kumpulan kominiti yang lain mengikut peruntukan artikel terbabit. Maka, tiada sesiapa rakan warganegara yang perlu takut dengan hegemoni Melayu, dan sebaliknya juga tiada orang Melayu yang perlu khuatir hilangnya hak bangsa Melayu ini.
Biarlah prinsip ini menjadi sandaran parti baharu ini dalam mengukir semula masa depan yang baru. Biarlah detik ini menjadi batu asas penubuhan ideologi baharu, yang menghormati masa lepas dan pada masa yang sama melihat jauh ke masa hadapan.
Parti baharu ini perlu merombak semula kedudukan parti komponen lain, yang jujurnya dengan tegasnya ditolak tepi oleh rakyat Malaysia.
Keyakinan di kalangan ahli parti komponen perlu dicambahkan semula, seterusnya dipelawa semula ke dalam lipatan sejarah baru yang bakal dilakar. Mereka yang ikhlas mahukan perubahan tentu akan menyahut cabaran sedemikian.
Jangan dirisaukan mereka yang ingin berlalu pergi dan tidak lagi merasakan BN sesuai untuk mereka. Sekadar menubuhkan pakatan baharu dengan tidak semena-mena hanya untuk memuaskan hati mereka bukanlah jawapannya.
Potensi anak muda juga mesti dijadikan fokus utama. Parti baharu ini mesti dipelopori oleh orang muda yang berpotensi dan berkongsi matlamat yang sama tentang persoalan masa hadapan.
Cukuplah dengan golongan kelas politikus secara karier; telusurilah semula sejarah penubuhan asal negara kita yang dipelopori individu yang turut mempunyai kehidupan sebenar di luar politik. Hanya dengan inilah godaan kuasa yang dijanjikan politik tidak lagi mengkorupkan pengamal politik dan parti.
Parti bakal memerlukan lebih ramai lagi golongan pemikir yang kritikal, dan menolak sikap “pak turut”. Kebolehan bertanya soalan secara kritis dan berhujah secara berhikmah sangat penting dalam menuju masa hadapan, tidak seperti syarikat gergasi yang sedikit demi sedikit melihat kejatuhannya kerana terlalu ramai pak turut yang hanya risau menjaga periuk nasi masing-masing dan terlalu sedikit pucuk pimpinan yang cukup terbuka menerima kritikan.
Hal ini bermakna, mereka yang sudah terlepas “tarikh luput” dan terus enggan meninggalkan gaya yang lama perlu melangkah ke tepi untuk memberi peluang kepada pembaharuan.
Usaha ini mestilah didukung oleh majoriti keahlian parti. Tiada siapa yang akan meyakini usaha ini jika wajah-wajah lama masih melopori tampuk barisan tertinggi parti.
Jika tidak, usaha ini bakal disalah anggap dan dilihat sebagai parti yang masih mengamalkan cara yang lama, yang menyekat kemajuan dan tidak menyediakan peluang untuk kepimpinan baru membuktikan kebolehan mereka.
Salah satu lagi punca kegagalan Umno yang paling jelas ialah kegagalannya menarik minat golongan Melayu muda dan professional. Tanpa mereka, budaya lama dalam parti terus menerus dianggap betul dan relevan.
Golongan muda mestilah diberikan peluang yang setara untuk menunjukkan kemampuan. Golongan yang mempunyai keberanian bersuara haruslah diiktiraf sebagai barisan kepimpinan.
Prinsip meritokrasi juga harus mula diterapkan sebagai kayu ukur dan kelayakan dan bukan sekadar dijadikan prioriti kedua selepas cita-cita. Pakar dalam bidang tertentu yang relevan wajar diraikan dan kepakaran itu haruslah bijak digunakan untuk kelebihan parti.
BN terbina atas kekuatan gerakan akar umbinya yang mutakhir ini jelas semakin kurang disantuni oleh BN.
Kejayaan PAS wajar sekali dijadikan contoh; walaupun diperlekehkan sebagai parti yang barangkali tidak akan bertahan lama, PAS nyata gagah mempertahankan Kelantan malah bangkit semula mengambil alih Terengganu dengan menakluki semula jiwa dan taat setia penyokong tegarnya di peringkat ‘grassroot’.
Di sini pula di mana golongan muda BN pula perlu menyedari kemenangan politik yang sebenar terletak di peringkat akar umbi, walaupun dengan kemudahan dan jangkauan luas yang dijanjikan oleh media sosial.
Strategi ini bukanlah hanya untuk tempoh masa 2 minggu berkempen, tetapi untuk mereka yang benar-benar berkeinginan untuk berkhidmat untuk rakyat dengan memberikan sentuhan kemanusiaan dan membina kepercayaan di kawasan tidak tercapai oleh media sosial.
Dengan pemahaman ini, parti baru ini harus memastikan yang majoriti ahli yang bakal menelurusi peringkat parti menuju barisan kepimpinan terdiri daripada golongan “grassroot” dan diberikan sokongan.
Bakat dan kemahiran di kalangan belia juga perlu dikenalpasti di peringkat cawangan. Mereka perlu digalakkan untuk menjalankan fungsi mereka secara efektif di peringkat cawangan sebelum dikenalpasti untuk menjadi calon wakil rakyat atau sebagainya.
Strategi untuk tampil berwibawa di media sosial dan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti semata-semata tidak akan membuahkan sebarang hasil, jika individu terbabit tidak rajin “turun padang” dan tidak dikenali orang ramai.
Strategi untuk tampil berwibawa di media sosial dan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti semata-semata tidak akan membuahkan sebarang hasil, jika individu terbabit tidak rajin “turun padang” dan tidak dikenali orang ramai.
Malang sekali hal ini diperlekehkan rata-rata ahli Umno, walhal strategi “grassroot” inilah yang selama ini menjadi keistimewaan dan rahsia kejayaan Umno.
Kepercayaan para pengundi Malaysia hanya akan kembali ke tangan BN menerusi usaha pembangunan negara bangsa yang benar-benar jujur dan ikhlas.
Penggiat parti yang saban hari secara senyap-senyap meneruskan usaha masing-masing, sebagaimana kecil sekalipun, tidak seharusnya kecewa dengan persepsi dan imej lama terhadap BN yang bakal senantiasa membayangi usaha-usaha mereka.
Mungkin cinta yang masih wujud dalam hati segelintir penyokong Umno dan parti komponen, bisa dijadikan pembakar semangat.
Apa yang jelas, tanpa sokongan daripada penyokong asal BN, tidak mungkin PH mampu meraih sedemikian banyak undi sehingga membawakan kepada kemenangan yang boleh dikatakan besar.
Situasi ini jelas menunjukkan kekecewaan yang sudah lama terpendam di kalangan penyokong BN itu sendiri. Tidak usahlah masa dan keringat dibelanjakan lagi untuk mengenang-ngenang faktor yang menyebabkan ahli-ahli parti memilih untuk mengundi PH. Kita jujurnya selama ini sekadar menunggu masa.
Usaha “menyegarkan” semula BN tidak akan dapat berlaku dalam sekelip mata. Kekuatan bersama perlu tampak jelas dalam BN demi menyediakan Malaysia dengan sebuah kerajaan alternatif baru di masa hadapan, di samping itu menjadi barisan pembangkang yang mampu menjadi “check and balance” yang baik kepada kerajaan baru.
Hanya masa yang bakal mencantas secara perlahan-lahan segala “lemak berlebihan” yang masih wujud dalam BN pada hari ini, sehingga yang tinggal hanyalah sebuah organisasi yang segar, lincah, bertenaga dan efisien.
BN mungkin menjelma sebagai organisasi baru hasil kombinasi semangat awal penubuhannya dan kehendak Malaysia di masa hadapan. Mungkin juga BN tidak akan ke mana.
Mungkin benar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih arif meramal masa hadapan kita, dengan tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mungkin juga Datuk Onn Jaafar membuat keputusan benar meninggalkan Umno untuk menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) atau Parti Negara atas kekesalan beliau dengan permainan politik remeh dalam Umno ketika itu.
Ya, mungkin setakat ini sahajalah, kemampuan BN. Dan dengan itu terdapat potensi BN yang baharu.
Danni Rais ialah setiausaha agung Organisation for National Empowerment (ONE). -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.