Perdana menteri memberi contoh Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 dan Akta Majlis Keselamatan Negara.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan pimpinannya akan mengkaji dan memansuhkan akta tidak adil serta zalim.
Beliau memberi contoh Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 yang baru diluluskan bulan lalu dan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Kerajaan Barisan Nasional mewartakan Akta Anti-berita Tidak Benar pada 11 April lalu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda maksimum RM500,000.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak teragak-agak memecat pegawai tertinggi kerajaan yang didapati bersubahat dengan bekas perdana menteri dan akan mengkaji semula kes beberapa pegawai kerajaan yang diturunkan pangkat atau kedudukan.
“Iya, sesetengah pegawai tertinggi dalam kerajaan harus dilucutkan. Kita dapati ada sesetengah individu yang pernah bersubahat dengan bekas perdana menteri,” katanya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-7, malam tadi.
“Kami akan meneliti kes-kes mereka dan sekiranya mereka berhak, mereka akan dinaikkan pangkat.”
Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden hari ini untuk membincangkan barisan anggota Kabinetnya dan beberapa perkara penting.
Katanya, beliau juga akan mendapatkan bantuan mereka yang membantu PH sepanjang kempen pilihan raya menerusi pembiayaan kewangan dan sokongan.
Beliau turut menyifatkan bekas menteri seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim yang berani tampil menyokong PH sebagai “komoditi yang sukar ditemui di negara ini”.
“Kami mempunyai orang yang cukup berani tampil ke depan dan menyumbang wang kepada kita. Mereka tidak memberitahu sesiapa…mereka datang secara diam-diam kerana anda tahu apa yang akan berlaku kepada mereka nanti.” -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.