`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 6, 2018

TUN DAIM, RAIS, RAFIDAH MESTI TERUS MARA SEHINGGA BN HILANG KUASA

Pemecatan Tun Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz daripada UMNO, manakala Rais Yatim pula sedang disiasat untuk maksud yang sama selepas ini, sebagaimana yang diumumkan oleh Tengku Adnan Tengku Mansor, bukanlah tindakan yang memeranjatkan sesiapa sebenarnya.
Tun Daim dan Rafidah sendiri pun tentu tidak terperanjat dengan perkara itu, malah sudah menjangkakannya.
Ini kerana tindakan mereka menyertai majlis kempen Pakatan Harapan adalah dilakukan dengan penuh kesedaran, meskipun kedua-duanya masih merupakan ahli UMNO ketika itu.
Jika mereka takut untuk dipecat daripada UMNO atau masih sayang kepada parti itu, sudah tentu mereka tidak turun berkempen untuk Pakatan Harapan.
Dengan Tun Daim dan Rafidah sedia berkempen untuk Pakatan Harapan ia adalah suatu bukti jelas mereka sudah hilang keyakinan kepada UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib Razak yang sedang ditolak rakyat ketika ini.
Pengumuman pemecatan itu sebaliknya menandakan UMNOlah yang sedang terperanjat dengan tindakan kedua-dua bekas menteri itu berkempen di atas pentas ceramah Pakatan Harapan.
Oleh kerana terperanjat, tanpa sebarang surat tunjuk sebab dan dipanggil membela diri, UMNO melalui Tengku Adnan terus memecat Tun Daim dan Rafidah begitu saja, walhal orang yang didapati membunuh pun akan dibicarakan dan dipanggil membela diri terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukuman.
Mengapa proses itu tidak dilakukan kepada Tun Daim dan Rafidah?
Tetapi, pemecatan itu memberi ruang yang lebih terbuka dan bebas kepada Tun Daim dan Rafidah untuk terus berkempen di hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi pada 9 Mei nanti.
Kedua-dua mereka kini tidak perlu lagi menoleh ke belakang, sebaliknya perlu terus mara sehingga UMNO dan BN tumbang, sekaligus membuktikan pilihan mereka memihak kepada Pakatan Harapan bukanlah suatu kesilapan.
Yang lebih menarik ialah berhubung kedudukan Rais Yatim. Sementara sebelum ini beliau banyak mengkritik UMNO dan kepimpinannya dan dengan Tengku Adnan mengumumkan bahawa penasihat sosio budaya bertaraf menteri itu sedang disiasat untuk tindakan yang seterusnya, beliau dalam waktu yang sama sudah pun mengesahkan untuk berada di pentas Pakatan Harapan Jempol malam esok.
Rais dilaporkan akan berceramah di pekan Batu Kikir untuk membantu kempen calon Pakatan Harapan Jempol, Kamaruzaman Kamdias.
Apakah maknanya semua ini?
Ia memberi erti Rais tidak takut untuk dipecat, bahkan dengan tindakan itu beliau seolah-olah mahu memudahkan lagi UMNO untuk segera memecatnya selepas program malam esok itu nanti.
Sekali lagi, tentunya ini membuatkan UMNO dan Tengku Adnan terperanjat buat kali yang seterusnya. Jangkaan beliau kemungkinan Rais akan kembali wala’ kepada UMNO dengan pengumuman bahawa kedudukannya sedang disiasat itu, ternyata meleset sama sekali.
Menjelang hari-hari terakhir kempen sebelum pengundian pada 9 Mei ini, sementara kebangkitan rakyat yang menjurus kepada berlakunya tsunami rakyat terlihat semakin nyata, tindakan tiga bekas menteri ini tentu saja merupakan satu lagi pukulan buat Najib, UMNO dan BN.
Penglibatan mereka di hari-hari terakhir kempen untuk memihak kepada Pakatan Harapan adalah isyarat jelas bahawa Najib bersama UMNO dan BN semakin tidak dikehendaki  lagi di Putrajaya selepas 9 Mei nanti.
 
Adakah lagi bekas-bekas menteri atau timbalan menteri daripada UMNO akan muncul memihak kepada Pakatan Harapan selepas ini?
– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.