`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 7, 2018

TUN MAHATHIR MULA ‘PASANG PAGAR’, BN AKAN SEMAKIN SUKAR UNTUK BERKUASA SEMULA

Di sebalik rayuan Pemangku Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan ketegasan Pakatan Harapan Sarawak menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PBB, Abang Johari Abang Haji Openg akhirnya tetap dengan keputusan membawa parti itu keluar meninggalkan BN.
Tindakan Presiden PBB ini hanya selangkah saja lagi untuk beliau membawa PBB bekerjasama secara rasmi dengan kerajaan Pusat pimpinan Tun Mahathir Mohamad, kalau pun barangkali untuk membawa parti yang ada 13 kerusi Parlimen itu menyertai Pakatan Harapan akan memerlukan lebih banyak masa lagi.
Meskipun ketika ini Pakatan Harapan Sarawak menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PBB, khususnya kerana parti itu juga dikaitkan dengan Taib Mahmud ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak dahulu, tetapi lama-kelamaan keperluan kepada kerjasama itu pasti sukar ditolak.
Harus diingat bahawa politik ialah “game of numbers” dan siapa yang lebih angkanya, maka dialah yang menang. Dalam keadaan sekarang, memang Pakatan Harapan sedang menguasai kerajaan dengan 122 kerusi berbanding BN yang ada hanya 79, Pas 18 dan Bebas 3, tetapi melakukan suatu usaha sehingga PBB keluar BN, ia adalah suatu tindakan politik yang bijaksana.
Dengan keluarnya PBB daripada BN, gabungan itu kini hanya tinggal  66 kerusi Parlimen saja lagi. Dari segi jumlah kerusi, PBB adalah komponen kedua terbesar selepas UMNO yang mempunyai 54 Ahli Parlimen.
Lebih daripada itu, ketiadaan PBB juga akan menambah-sukarkan lagi BN untuk kembali berkuasa dalam PRU15 akan datang.
Lebih parah lagi buat BN jika selepas ini semua parti komponen di Sawarak turut mengikut jejak langkah PBB itu.
Sebelum ini, berikutan BN hilang kuasa buat pertama kalinya dalam pilihanraya 9 Mei lalu, tiga parti di Sabah iaitu PBRS, UPKO dan LDP sudah pun mengumumkan keluar BN.
Tanpa sokongan daripada parti-parti di Sarawak, manakala Warisan sudah menjadi dominan di Sabah menenggelamkan UMNO, BN menjelang pilihanraya lima tahun akan datang bukan saja jadi semakin mengecil, bahkan akan dilihat sebagai gabungan yang hanya mewakili parti-parti Semenanjung semata-mata.
Dengan realiti seperti itu, lebih-lebih lagi jika kepimpinan UMNO dan BN selepas ini terus dibayangi serta dikaitkan dengan Najib Razak yang terpalit dengan skandal rasuah terbesar di dunia, harapan BN untuk kembali mendapat sokongan rakyat pasti saja ternampak lebih sukar.
Tidak kira siapa pun Presiden UMNO selepas ini, baik atau pun Zahid Hamidi Tengku Razaleigh Hamzah, BN tetap berada di laluan sukar penuh berduri.
Makna kata, kepantasan Tun Mahathir meyakinkan  Abang Johari untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan, seterusnya sehingga membawa keluar PBB meninggalkan BN, selain tindakan bijak, ia  juga memperlihatkan bagaimana Tun Mahathir sedang “memasang pagar”  untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa semula.
Walaupun Tun Mahathir dijangka akan berundur dua tahun lagi untuk menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, beliau nampaknya sedang mempersiapkan untuk Pakatan Harapan berkuasa dengan lebih lama lagi selepas ketiadaannya.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.