KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim tidak mahu melayan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mendakwa beliau tidak layak menjadi perdana menteri kerana pernah dipenjarakan.
Presiden PKR itu berkata, sama ada kenyataan Takiyuddin ialah satu bentuk penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana memberi pengampunan penuh kepadanya tahun lalu, perlu dirujuk kepada peguam.
“Saya banyak lagi kerja daripada nak layan dia (Takiyuddin),” katanya selepas melawat bekas pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad di rumahnya hari ini.
Yazid pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah buah pinggang dan jantung pada Julai 2015.
Rabu lalu, Takiyuddin dalam satu ceramah di Sandakan, Sabah mempersoalkan jika rakyat mahu bekas banduan seperti Anwar sebagai perdana menteri mereka.
Katanya, sabitan dan hukuman liwat ke atas ahli Parlimen Port Dickson itu tidak boleh dipersoalkan kerana ia adalah keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Sebagai peguam, kita tahu apabila seorang keluar daripada penjara, status seumur hidup (nya) adalah banduan.
“Jadi, mahu kita menjadikan seorang ini sebagai PM kita?” soalnya yang dibalas hadirin dengan jawapan “Tidak”.
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan menggesa Takiyuddin memohon maaf secara terbuka kepada Anwar dan menarik balik dakwaan itu yang disifatkannya berniat jahat, biadab dan melampaui batas.
Katanya, dakwaan Takiyuddin itu secara tidak langsung memperlekehkan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar tahun lalu.
Anwar dibebaskan lebih awal pada 16 Mei 2018 kerana berkelakuan baik, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan hukuman penjara 5 tahun bermula Februari 2015.
Pengampunan diraja memansuhkan sekatan untuk Anwar menyertai politik selama 5 tahun selepas dibebaskan.
Dalam perjanjian dengan pimpinan Pakatan Harapan, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas 2 tahun memimpin negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.