
Perintah reman empat dan lima hari iaitu hingga 15 dan 16 Mac dikeluarkan terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Manakala, 10 lagi suspek membabitkan empat lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an direman lima hari hingga 16 Mac selepas permohoanan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Sumber berkata, seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an ditahan antara 11 pagi hingga 8 malam semalam menerusi Op Outlander dan Op Birth dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
“Suspek ditahan terdiri seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang, beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.
“Semua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025 dengan menerima serta memberi rasuah termasuk menyediakan selain mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Katanya, empat lagi suspek melibatkan seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang turut ditahan dalam dua operasi berkenaan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan dan selepas keterangan mereka selesai dirakam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.