`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, January 11, 2026

Polis bimbang kes buli, rogol libat budak sekolah di Kedah

Pihak berkuasa menangkap 31 individu dengan 11 sudah dituduh kerana membuli tahun lalu, manakala berlaku 90 kes rogol libat budak sekolah.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata tahun lalu sebanyak 78 kes rogol berlaku di sekolah menengah dan 12 kes melibatkan murid sekolah rendah. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
 Kes buli membabitkan pelajar sekolah di negeri ini meningkat kepada 43 kes tahun lalu, berbanding 10 kes dicatatkan pada 2024.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata angka itu membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan 330% dengan sekolah menengah mencatatkan 32 kes, sekolah rendah (sembilan), dan sekolah persendirian (dua).

“Bagi tempoh yang sama, 31 individu (kes buli) telah ditangkap dan 11 daripadanya telah dituduh di mahkamah. Saya ingin memberi peringatan tegas bahawa tiada perlindungan terhadap sebarang perlakuan jenayah, walaupun pelaku bawah umur atau murid sekolah.

“Undang-undang akan tetap dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya semasa melawat Kolej Sultan Abdul Hamid.

Beliau berkata, sekolah seharusnya menjadi zon selamat kepada semua pelajar untuk menimba ilmu, membina sahsiah dan membentuk masa depan, bukannya tempat berlaku jenayah seperti keganasan, ugutan dan penyalahgunaan dadah.

“Polis amat prihatin tentang masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya murid dan bagi mengatasinya, kerjasama yang tersusun antara polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dilihat mampu membendung isu berkenaan.

“Jika berlaku sebarang bentuk buli, ugutan atau perlakuan yang menjejaskan keselamatan, murid tidak perlu takut untuk laporkan kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa. Kita juga meletakkan seorang pegawai sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang berperanan sebagai penghubung antara sekolah dan polis,” katanya.

Sementara itu, Adzli berkata, sepanjang tahun lalu menyaksikan 90 kes rogol yang melibatkan mangsa bawah umur direkodkan di Kedah dengan 78 kes berlaku di sekolah menengah dan 12 kes melibatkan murid sekolah rendah.

“Situasi ini amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius. Berdasarkan siasatan, sebahagian besar kes rogol ini melibatkan murid sekolah yang berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral termasuk faktor pergaulan bebas, kepercayaan yang disalah guna serta kecuaian dalam menjaga batas pergaulan.

“Setiap murid perlu memahami tiada siapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan terhadap diri sama ada secara fizikal, emosi, dan media sosial. Jadi, jangan sesekali mendiamkan diri dan laporkan segera kepada guru, ibu bapa, penjaga atau pegawai PPS supaya tindakan dapat diambil,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.