Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional berkata KPM tidak seharusnya mengulangi pendekatan lama yang terlalu menumpukan aspek teori semata-mata.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) tidak seharusnya mengulangi pendekatan lama yang terlalu menumpukan aspek teori semata-mata.
“Pemberatan seharusnya kepada amali dan penyelesaian. KPM boleh menggunakan perkiraan 75% peperiksaan akhir tahun dan 25% peperiksaan bilik darjah serta penilaian terhadap akhlak dan adab,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang kementeriannya akan segera mengkaji semula keperluan mengembalikan UPSR dan PT3.
Fadhlina berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) diarahkan mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan itu.
Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berkata cadangan itu hanya mewujudkan lebih banyak tekanan sosial berbanding peningkatan pembelajaran.
Setiausaha Agung Fouzi Singon menegaskan, usaha membangunkan penguasaan literasi dan numerasi jauh lebih mendesak berbanding mengembalikan semula peperiksaan tersebut.
Sementara itu, Mohamad berkata ketiadaan peperiksaan peringkat nasional dan penentuan ketika ini akan menghilangkan kayu ukur jelas dan berisiko membawa kepada kecenderungan pemberian gred tinggi tanpa disokong piawaian kukuh.
“Peperiksaan nasional atau piawai, penting untuk menilai dan mengukur keupayaan asas 3M (membaca, menulis, dan mengira) dan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kesediaan pelajar aliran perdana di peringkat pertengahan menengah agar kerja-kerja pemulihan dapat dilaksanakan secara tersusun, bermakna, sempurna serta teratur tanpa ada yang tercicir.
“Penggemblengan tenaga profesional setiap tahap pendidikan perlu dimanfaatkan oleh semua warga negara yang memerlukan,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.