Tun Faisal Ismail Aziz sebelum ini dakwa Hamzah Zainudin musuh kepada Bersatu dan secara tidak langsung PN.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kenyataan itu bercanggah pendirian Hamzah bersama 18 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PN.
“Malah gesaan beliau (Tun Faisal) untuk letakkan kami yang dipecat ini dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat walaupun sudah nyatakan sokongan kepada PN langsung tak masuk akal.
“Dakwaan Tun Faisal jelas menyimpang. Jelas setakat ini Hamzah kekal ketua pembangkang yang diterima semua Ahli Parlimen PN,” kata Ahli Parlimen Machang kepada FMT.
Terdahulu, Tun Faisal mendakwa Hamzah dan kumpulannya bukan lagi rakan parti itu, sebaliknya menjadi musuh kepada Bersatu dan secara tidak langsung PN.
Ahad lalu, Hamzah dan 18 Ahli Parlimen menyokongnya termasuk 13 wakil rakyat masih bersama Bersatu menyuarakan sokongan kepada PN susulan pelantikan pengerusi baharu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sembilan belas Ahli Parlimen tersebut mengucapkan tahniah kepada naib presiden PAS itu atas pelantikannya dan berikrar memberi sokongan penuh kepadanya bagi memimpin gabungan pembangkang.
Hamzah dan tiga Ahli Parlimen Bersatu dipecat pada 13 Feb lalu di kemuncak kemelut kepimpinan antaranya dan Muhyiddin.
Dalam pada itu, Wan Fayhsal mendakwa Tun Faisal membawa agenda tertentu untuk melemahkan blok pembangkang dalam menentang kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dakwanya, gesaan supaya Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang hanya akan mengurangkan jumlah wakil rakyat pembangkang dalam blok PN.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, yang turut dipecat Bersatu berkata isu dibangkitkan Tun Faisal perlu diselesaikan melalui saluran dalaman parti.
“Isu dibangkitkan itu kemelut dalaman Bersatu, bukan PN. Kami Ahli Parlimen blok pembangkang lebih mengutamakan isu negara dan rakyat.
“Ini lebih penting diperjuangkan di Dewan Rakyat berbanding melayan kerenah ketua penerangan Bersatu ini,” katanya, menegaskan sudah menyatakan sokongan penuh kepada PN dan Samsuri sebagai pengerusi baharu gabungan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.