Mazlan Ali berkata PN sepatutnya tumpu kepada isu substantif menyentuh kepentingan rakyat untuk hadapi PRU16.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, PN sepatutnya lebih menumpukan isu substantif menyentuh kepentingan rakyat, sesuatu yang perlu diperjuangkan ketika PRU16 semakin dekat.
Katanya, lebih pelik PAS yang sebelum ini menyatakan enggan menamakan calon perdana menteri sehingga keputusan PRU16 diumumkan pula membangkitkan idea Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar dijadikan ‘poster boy’.
Menurutnya, malah PAS juga tidak bersetuju dengan Bersatu yang meletakkan Muhyiddin secara sepihak sebagai calon perdana menteri, iaitu menerusi usul Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) September tahun lalu.
“Ia akan menjadi satu polemik yang boleh memecahkan (hubungan kerjasama) antara PAS dan Bersatu jika pucuk pimpinan mengambil serius pandangan Pemuda itu.
“Sepatutnya mereka fokus kepada isu besar seperti ekonomi dan bagaimana mahu mendapatkan undi bukan Melayu jika mahu menggantikan kerajaan Madani, tetapi timbul semula perkara remeh macam ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, isu itu juga berisiko mengeruhkan lagi keadaan dalam Bersatu yang kini dilihat terbahagi kepada dua kem, iaitu penyokong Muhyiddin dan Hamzah Zainudin yang dipecat pada 13 Feb lalu.
Kelmarin, Pemuda PAS mencetuskan idea mengangkat Samsuri atau dikenali Dr Sam sebagai calon perdana menteri parti itu, dengan mendapatkan maklum balas orang ramai mengenainya sambil berkata menteri besar tersebut membawa Terengganu ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, mengingatkan cadangan perlu dibincangkan majlis tertinggi komponen sebagai langkah menghormati rakan yang turut terdiri Gerakan dan MIPP.
Samsuri dipilih sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menjangkakan, konflik dalaman PN akan berterusan selagi terdapat banyak ‘kawasan kelabu’ di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan itu.
“Secara realistiknya, pelantikan Samsuri sebagai pengerusi dilihat sebagai langkah kompromi terbaik kerana imej beliau yang lebih sederhana,” katanya.
Syaza berkata, PN sepatutnya fokus kepada perkara lebih substantif untuk membuktikan mereka adalah ‘kerajaan dalam penantian’.
“Namun, soal kepimpinan juga penting dan selagi ia pun asyik dipertikaikan malah tiada persefahaman, macam mana nak tunjuk mereka bersedia untuk isu-isu lebih besar?” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.