Peningkatan ketara panggilan berkaitan keracunan racun tikus sepanjang 2023 hingga tahun lalu terutama babit produk haram atau tak berdaftar.

Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun, Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM), Asdariah Misnan, berkata pihaknya merekodkan peningkatan ketara panggilan berkaitan keracunan racun tikus sepanjang tempoh 2023 hingga tahun lepas, terutama membabitkan produk haram atau tidak berdaftar yang mengandungi bahan sangat toksik.
“Pada 2023 sebanyak 42 daripada 94 kes melibatkan racun haram, diikuti 61 daripada 143 kes (2024) dan 51 daripada 118 kes (2025) serta bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025 sahaja, sebanyak 35 kes keracunan dilaporkan dengan 18 kes atau 51.4 peratus daripadanya membabitkan racun tikus haram tidak berdaftar.
“Lebih 40% daripada keseluruhan kes keracunan racun tikus dalam tempoh tiga tahun itu melibatkan produk tidak berdaftar dan secara keseluruhannya antara 60 hingga 70 peratus kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun, menjadikan golongan itu paling terdedah kepada risiko keracunan di rumah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata separuh daripada kes keracunan racun tikus adalah tidak disengajakan akibat termakan umpan yang dicampur dengan makanan dan diletakkan di kawasan terbuka serta mudah dicapai kanak-kanak.
“Pemantauan turut mendapati ketidaktelusan dalam pelabelan produk tidak berdaftar termasuk laporan kepekatan bahan aktif lebih tinggi daripada yang dicetak pada label, sekali gus meningkatkan risiko keracunan walaupun pada jumlah kecil.
“Lebih membimbangkan, ujian makmal turut mengesan bahan aktif berbeza daripada yang dinyatakan pada label atau laman sesawang produk, termasuk bahan yang lebih toksik dan telah diharamkan di kebanyakan negara seperti tetramethylenedisulfotetramine (Tets), sodium monofluoroacetate (SMFA), fluoroacetamide dan fluoroacetic acid yang boleh menyebabkan sawan berulang serta kematian walaupun pada dos kecil,” katanya.
Sehubungan itu, Asdariah berkata PRN USM menggesa usaha bersepadu semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penjual bagi membanteras penjualan racun tikus tidak berdaftar, selain memperketat penguatkuasaan.
Beliau berkata penjual, khususnya pengendali platform e-dagang disaran memastikan hanya penjual berlesen dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) dibenarkan menjual racun perosak berdaftar serta mempamerkan nombor pendaftaran sah bermula. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.