Suspek berusia 28 ditahan malam tadi selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung hantaran tular akaun 'Mohd Fadli Salleh'.

Pemangku Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat, berkata pihaknya mengesan hantaran di Facebook oleh akaun ‘Mohd Fadli Salleh’ berhubung kejadian itu.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun pada 9 malam susulan hantaran tular terbabit.
“Pengadu memaklumkan kejadian cabul itu berlaku pada 2025 di kawasan Seri Alam, Johor.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun pada 10.30 malam tadi bagi membantu siasatan,” katanya, menurut Harian Metro.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Fadhli mendedahkan kejadian terbabit berlaku pada September tahun lalu membabit seorang guru dan murid perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan di Facebook kemudiannya berkata kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut beliau, guru itu juga telah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.