`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Thursday, May 21, 2026

Titah Sultan Selangor nasihat bukan campur tangan politik, kata Tengku Zafrul

 Penasihat kanan politik kepada perdana menteri itu berkata ia bukan 'dekri' atau perintah seperti yang disalah tafsir segelintir pemimpin politik.

TENGKU ZAFRUL AZIZ
Penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul Aziz nasihatkan semua pihak tidak ambil kesempatan mempolitikkan isu itu hingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat Selangor.
PETALING JAYA:
Titah oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bukanlah suatu campur tangan politik, sebaliknya merupakan nasihat, teguran dan pandangan yang lahir daripada tanggungjawab baginda sebagai seorang raja, kata Tengku Zafrul Aziz.

Penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu berkata Sultan Sharafuddin ada tanggungjawab untuk memastikan kestabilan negeri, keharmonian masyarakat serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Kata Tengku Zafrul, titah Sultan Sharafuddin perlu difahami dalam kerangka sebenar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara ini sejak sekian lama.

“Titah adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya. Ia bukanlah satu ‘dekri’ atau perintah seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.

“Oleh itu titah Tuanku Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu,” katanya di Facebook.

Kenyataan Zafrul dibuat susulan 80 laporan polis dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berhubung hantaran Facebook beliau mengenai Rukun Negara dan institusi raja-raja.

Dalam hantarannya, Pua berkata kuasa Raja adalah terhad kepada aspek tertentu yang telah ditetapkan seperti adat resam Melayu, agama Islam, dan peranan Perlembagaan seperti pelantikan menteri besar, serta persetujuan untuk pembubaran DUN.

Beliau juga menyatakan, rakyat Malaysia tidak ‘hidup dalam sistem di mana Raja boleh mengeluarkan titah perintah mengikat bagi semua aspek kehidupan kita’.

Sebelum itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan Adun DAP Wong Siew Ki dan bekas pemimpin DAP Ronnie Liu supaya mendalami Rukun Negara dan lebih menghormati institusi raja.

Titah itu dibuat berikutan kontroversi kenyataan Wong dan Liu berhubung gesaan baginda supaya penternakan babi di Selangor dihentikan sepenuhnya.

Tengku Zafrul juga berkata apa yang dizahirkan Sultan Sharafuddin bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama.

Kita juga harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.

“Kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain,” katanya.

Beliau juga menasihatkan semua pihak untuk tidak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu itu hingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat Selangor.

“Tumpuan berterusan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasa dan memporak perandakan negara dan bangsa kita sendiri.

“Marilah kita terus berpegang teguh dan mengabdikan lima Prinsip Rukunegara, sebagai panduan hidup masyarakat yang aman, harmoni dan berjaya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.