`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, May 22, 2026

Hak akar umbi mahu PAS tanding Gombak tapi pusat buat keputusan

 Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri berkata soal agihan kerusi dan jumlah kawasan ditandingi belum dimuktamad kerana keputusan akhir di tangan pimpinan pusat.

Ab Halim Tamuri
Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri berkata setiap usul adalah hak Pemuda dan akar umbi di kawasan masing-masing
PETALING JAYA:
PAS Selangor menghormati pandangan akar umbi yang mahu calon parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Gombak, kerusi ditandingi Bersatu sebelum ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, berkata soal agihan kerusi dan jumlah kawasan akan ditandingi pada PRU16 belum dimuktamadkan kerana keputusan akhir di tangan pimpinan pusat.

“Setiap usul adalah hak Pemuda dan akar umbi PAS di kawasan masing-masing. Dalam PAS, kita beri kebebasan untuk mereka menyuarakan pandangan.

“Kita tidak boleh sekat cadangan akar umbi kerana mereka bebas bersuara, itu demokrasi dalam PAS. Namun, pimpinan PAS pusat akan memuktamadkan keputusan akhir dan kita akan patuh serta akur,” katanya kepada FMT.


Media pada 17 Mei lalu melaporkan Pemuda PAS Gombak menuntut calon parti itu diberi peluang bertanding kerusi Parlimen dan semua DUN di bawahnya pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya Suffi Kamari dilaporkan berkata tuntutan itu berdasarkan realiti politik semasa dan kekuatan jentera peringkat akar umbi yang dilihat mampu menjadi formula baharu untuk merampas semula kerusi berkenaan.

Katanya, kekalahan Pengerusi PN Selangor Azmin Ali di Gombak pada PRU15 menunjukkan pendekatan lama meletakkan calon bukan daripada PAS di kawasan berkenaan perlu dinilai semula.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) merampas kerusi itu daripada Azmin dengan majoriti 12,729 undi.

Nafi tunggang isu teguran sultan

Dalam perkembangan lain, Halim menafikan dakwaan PAS cuba menunggang isu teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penternakan babi terhadap wakil rakyat DAP.

Beliau berkata, pendirian PAS mempertahankan institusi diraja konsisten sejak dahulu dan bukan bermotifkan politik, termasuk penganjuran himpunan mempertahankan institusi raja, Islam dan kepentingan Melayu di Shah Alam, minggu lalu.

“Rakyat perlu faham institusi raja wajib dihormati dan dipatuhi. Nasihat diberikan untuk kebaikan rakyat. Saya ingatkan semua wakil rakyat dan masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan atau rasa tidak selesa,” katanya.

Kira-kira 5,000 peserta menyertai Himpunan Daulat Tuanku di pekarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang turut disertai ahli PAS dan pemimpin Umno, minggu lalu.

Himpunan itu diadakan susulan kontroversi cadangan penternakan babi moden dibangkitkan Adun Seri Kembangan daripada DAP, Wong Siew Ki ketika sidang DUN Selangor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.