`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 19, 2026

Mengantuk di saf Jumaat

 Kita mahu anak muda dekat dengan masjid tetapi khutbah tidak menggamit mereka.

ronasina

Semenjak dua menjak ini bila duduk mendengar khatib membaca khutbah Jumaat, saya sering berasa kesal dan sebal. Di saf belakang, saya nampak ada yang tidur, ada yang mengelamun kosong, di luar pula ada yang berborak sesama kawan dengan perlahan, tidak kurang juga ada yang diam-diam melihat telefon bimbit di celah paha. Kalau budak sekolah tak mengapalah juga, tetapi orang dewasa pun sama. Kenapa?

Memang kita boleh marah para jemaah ini kerana tidak menghormati khutbah. Itu memang betul sebab khutbah Jumaat termasuk dalam syarat sah solat Jumaat itu sendiri. Mengabaikannya bererti akan menyebabkan kesahan solat Jumaat itu diragui. Tetapi kita juga perlu berani bertanya satu soalan lain yang lebih tidak selesa iaitu kenapa ramai jemaah tak tumpukan betul-betul isi khutbah yang disampaikan itu? Apakah jemaah tidak tahu tentang syarat sah? Bagaimana kalau isi khutbah itu sendiri menjadi penyebab para jemaah tak berminat untuk mendengar?

Ya, kita boleh berpura-pura memandang ketika khatib menyampaikan khutbah demi ‘menghormati majlis’ tetapi ini tak menyelesaikan masalah. Khutbah Jumaat sepatutnya menjadi sumber maklumat penting dalam masyarakat Muslim. Ini kerana seminggu sekali, masyarakat Muslim setempat berkumpul. Ada pekerja kilang, guru, rider, peniaga kecil, pesara, artis, pelajar universiti, penganggur, penjawat awam dan budak sekolah duduk dalam satu saf mendengar peringatan. Itu ruang yang sangat besar pengaruhnya. Malangnya, isi khutbah terasa terlalu jauh nak dicapai, terlalu umum dan isinya terlalu ‘selamat’.

Di sesetengah kariah, ada yang sedang berdepan dengan masalah mabuk dan khayal, masalah merempit dan basikal lajak yang mengganggu keselesaan, kes kecurian bersiri, masalah sampah dan longkang tersumbat yang boleh menyebabkan wabak. Namun, khutbah yang dibaca kadang-kadang terasa seperti datang dari planet lain. Tak dapat para jemaah mencantumkannya dalam persekitaran mereka. Akhirnya khutbah jadi seperti teks perutusan rasmi, bukan lagi peringatan yang penting.

Saya bukan tidak setuju dengan khutbah yang selaras untuk setiap negeri. Ada banyak kebaikannya. Ia boleh memastikan fakta agama lebih terkawal dan mengelakkan unsur melampau atau fitnah. Tetapi apalah salah jika sesekali diberikan kepercayaan kepada khatib untuk bercakap tentang realiti setempat?

Kalau masjid itu berada di kawasan nelayan, cakaplah tentang permasalahan di sana. Kalau di kawasan bandar, sentuhlah tentang tekanan hidup warga kota. Di kampung, soal pengembala lembu membiarkan lembu peliharaan merayau masuk kebun orang sehingga merosakkan tanaman pun boleh dikaitkan. Macam-macam. Di tempat saya, sering saya lihat orang buang sampah dari rumah mereka di tepi hutan yang masih hijau. Hal-hal begini pun saya rasa boleh diperingatkan di mimbar. Biar jemaah rasa khutbah itu sedang bercakap dengan mereka, bukan seperti membaca berita.

Bila bercakap soal memberi sedikit kebebasan kepada khatib, akan muncul ketakutan bahawa nanti ada pihak menyalahgunakan mimbar untuk main politik atau menjadikannya sebagai medan membawa aliran tertentu. Ya, kebimbangan itu ada asasnya tetapi sampai bila kita mahu mengurus masyarakat dengan kebimbangan dan wasangka semata-mata? Kalau semuanya mahu dikawal terlalu ketat, akhirnya kita hanya melahirkan masyarakat yang pasif. Ironinya, dalam kehidupan harian kita sendiri sentiasa bercakap tentang inovasi, kreativiti dan keberanian berfikir tetapi dalam bab khutbah, semuanya statik dan steril. Perbincangan hanya dibolehkan dalam satu nada dan satu bentuk sahaja.

Sejarah Islam sendiri penuh dengan tradisi ilmu yang hidup. Para ulama dahulu berbahas, berdialog dan bercakap tentang realiti semasa masyarakat. Islam berkembang bukan kerana ketakutan, tetapi kerana keberanian berfikir dan keberanian menghadapi masalah manusia sebenar. Bahkan, di dalam azan lima kali sehari semalam itu ada frasa ‘haiya alal falah’ (marilah menuju kejayaan). Kejayaan lahir daripada masyarakat yang berani berfikir, tidak takut untuk berhijrah, berubah dan percaya-mempercayai. Jika kita mahu masyarakat Islam maju, kita harus berani membuka sedikit ruang kepada dinamika. Begitu juga dalam bab khutbah Jumaat ini, jika tidak — khutbah akan terus jadi tawar dan hambar.

Kita mahu anak muda dekat dengan masjid tetapi khutbah tidak menggamit mereka. Kalau khutbah masih bercakap dengan gaya yang sama seperti setengah abad lalu tanpa cuba memahami perubahan ini, jangan terkejut kalau ada yang akhirnya lebih khusyuk melihat TikTok ketika khatib sedang berkhutbah. Ini kerana ‘khutbah’ pempengaruh di media sosial lebih menyentuh jiwa mereka. Tak begitu?

Saya sangat optimis ramai sebenarnya khatib yang mempunyai kemampuan besar. Ramai yang berilmu, luas pembacaan dan sangat memahami gejolak masyarakat. Saya yakin ramai di antara mereka mampu menarik perhatian jemaah pelbagai peringkat umur jika mereka diberi ruang.

Takkan kita tak tahu apa isi khutbah Jumaat di zaman Nabi, para sahabat dan zaman khulafa ur-rasyidin? Mereka bercakap tentang isu semasa dan masalah setempat dengan terperinci. Ada masanya tegas, ada masanya lembut, ada masanya ringkas, ada masanya panjang. Ada ketika baginda bercakap soal akidah, ada ketika baginda bercakap soal pasar, keluarga, perang, jiran dan kemiskinan. Itulah maksud khutbah. Mungkin kita boleh berbuat sesuatu supaya orang ramai menjadi minat datang ke masjid disebabkan ingin mendengar apa isi khutbah pada hari itu.

Bagi saya, khutbah boleh menjadi medan mengasah ilmu dan keimanan masyarakat. Di sinilah kita perlu berani mengakui bahawa ada sesuatu yang perlu diperbaiki apabila khutbah tewas dengan skrin telefon lima inci. Lebih memalukan lagi, di sesetengah tempat yang pernah saya hadiri, khatib yang membaca khutbah kelihatan terkial-kial dan tergagap-gagap membaca teks seperti tidak menelaahnya terlebih dahulu sebelum bersiap naik ke mimbar.

Seruan mengajak kita ke mercu kejayaan jangan nanti hanya sekadar lafaz yang merdu di pembesar suara sahaja, bukan semangat yang benar-benar perlu kita hidupkan. Khutbah dan solat itu jangan nanti hanya sekadar ritual ikut syarat, kosong dan hampa tanpa penerapan tauhid rububiyyah dan uluhiyyah, dan jemaah, selepas habis tahiyyat akhir, terus meluru keluar mencari sepatu, tergesa-gesa mencari nasi sebelum masuk kerja semula tanpa sempat bersalam dengan jemaah lain yang mereka rasa tak perlu mereka kenali. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.