`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 13, 2018

Peguam alu-alukan program pemutihan nikah rentas sempadan

nikah

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik cadangan kerajaan Kedah menganjurkan Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan bagi melindungi kanak-kanak yang dilahirkan pasangan bernikah di luar negara tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan di sini.
Presiden PGSM Musa Awang berkata program itu akan melindungi kanak-kanak berstatus “tanpa warganegara” akibat perkahwinan itu, lapor New Strait Times (NST).
Beliau berkata program itu juga akan membantu dari segi pendaftaran kelahiran, status dan pendaftaran sekolah.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran orang ramai tidak boleh menyalahgunakan program itu kerana kemungkinan ada pasangan menggunakan peluang tersebut untuk berkahwin di luar negara tanpa persetujuan daripada pihak berkuasa agama.
NST semalam melaporkan kerajaan Kedah memulakan program tersebut untuk membantu 10,000 isteri beragama Islam yang tidak diiktiraf secara rasmi kerana bernikah di Thailand.
Laporan itu berkata kira-kira 30,000 kanak-kanak tidak mempunyai status warganegara kerana kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan dengan pejabat agama Islam di sini.
“Ini adalah inisiatif yang baik kerana faktor geografi, ramai orang di Kedah berkahwin di Thailand,” katanya.
NST memetik penyelaras NGO Halaqah Ilmi, Ahmad Fuad Ashari sebagai berkata program itu menjadi penyelesaian kepada pasangan yang mengalami kesukaran mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dan mendapatkan sijil kelahiran untuk anak-anak mereka.
Exco Agama, Pelancongan dan Warisan, dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dipetik sebagai berkata program itu bukan bertujuan menggalakkan orang ramai berkahwin tanpa persetujuan.
Beliau berkata ia bertujuan membantu mereka yang sudah lama bernikah tetapi gagal mendaftar perkahwinan, selain melindungi kebajikan serta masa depan keluarga mereka.
“Kami telah bertemu dengan pihak berkuasa, termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam negeri, Jabatan Kehakiman Syariah negeri, penasihat undang-undang negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara negeri untuk membincangkan perkara itu.
“Kami telah memberi taklimat kepada pegawai-pegawai Islam daerah untuk memastikan kakitangan mereka memahami proses itu,” katanya.
Program pemutihan untuk melindungi kebajikan kanak-kanak, bukan mengalakkan orang bernikah di luar negara. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.