Universiti P Ramlee bakal merancakkan lagi Taman Ilmu yang menjadi nadi penggerak pembangunan sekitar kawasan berkenaan.
KUALA TERENGGANU: Taman Ilmu di Besut bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai hab pendidikan tinggi dan gerbang pendidikan bagi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Tanggal 15 Mac 2018 bakal menjadi satu lagi tarikh bersejarah istimewa buat kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) Terengganu pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman apabila Taman Ilmu menerima tetamu baharunya iaitu Universiti P Ramlee.
Selain 220 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sudah lama menghuni asrama di Taman Ilmu, kehadiran pelajar Universiti P Ramlee bakal merancakkan lagi kota pendidikan itu dengan lautan ilmu yang menjadi nadi penggerak pembangunan sekitar kawasan berkenaan.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga bakal mengikut jejak langkah sama memanfaatkan semua kemudahan seperti kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan kompleks sukan serta mini stadium di Taman Ilmu tidak lama lagi.
Mengulas kejayaan kerajaan negeri menggerakkan Taman Ilmu itu, Ahmad Razif berkata segala penat lelah dicurahkan 24 jam sehari dan 7 hari seminggu terhadap projek itu, sejak menerima amanah sebagai pemimpin nombor 1 di Terengganu sejak 12 Mei 2014, ternyata berbaloi apabila banyak universiti mula membuka mata dan mengintai peluang di Taman Ilmu.
“Sejak hari pertama saya menggalas tanggungjawab berat sebagai menteri besar, jauh di sudut hati saya sudah berazam mahu menyiapkan semua projek dimulakan pimpinan terdahulu dan satu daripadanya ialah Taman Ilmu.
“Ini lambang penghargaan kerajaan kepada rakyat Terengganu yang sentiasa bekerja keras dan berhempas pulas memastikan negeri kita sentiasa terkehadapan dalam bidang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Idea asal Taman Ilmu dicetuskan Datuk Seri Idris Jusoh diteruskan pada zaman pimpinan seterusnya oleh Datuk Seri Ahmad Said dan direalisasikan pada era pemerintahan Ahmad Razif.
Projek Taman Ilmu dimulakan pada 2007 melalui Rancangan Malaysia Ke-9 adalah di bawah ECER di kawasan seluas 280 hektar dengan kos lebih RM300 juta.
Taman Ilmu mula menjadi sebutan ramai apabila pembinaannya tertangguh pada 2012 dan sejak itu menjadi modal politik pembangkang untuk memberi persepsi negatif kepada kerajaan negeri yang didakwa membazirkan wang rakyat.
Ahmad Razif berkata projek itu tertangguh bukan bermaksud kerajaan mengabaikan Taman Ilmu atau memberhentikan terus pembinaannya.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk membiarkan Taman Ilmu menjadi projek ‘gajah putih’… sebab itu perbincangan demi perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak terutama Kementerian Pengajian Tinggi bagaimana mahu memberi nafas baru kepada Taman Ilmu.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa tanpa henti, Taman Ilmu mula dihuni secara berperingkat dan pasti ia akan menjadi satu lagi tanda mercu kejayaan pendidikan di Terengganu tidak lama lagi,” katanya.
Setelah lama mengasak dan menyerang bertubi-tubi ”kelemahan dan kegagalan” kerajaan BN Terengganu menguruskan Taman Ilmu, penyerahan beberapa komponen Taman Ilmu kepada Universiti P Ramlee esok pasti akan menjadi ”mimpi ngeri” buat pembangkang.
Tanpa memikirkan kata-kata negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab, Ahmad Razif menegaskan Taman Ilmu itu sendiri menjadi satu bukti nyata kisah kejayaan pimpinan Umno dan BN Terengganu yang sangat cemerlang selama ini.
“Hanya kini kita menanti restu Tuhan agar Taman Ilmu menjadi kota pendidikan terulung selari hasrat Terengganu melahirkan generasi ulul albab terus dirahmati… insyaAllah,” katanya. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.