PETALING JAYA: Keadaan berjerebu teruk melanda negara sejak dua minggu lalu bertambah baik setakat 7 pagi ini kecuali Johan Setia Klang satu-satunya kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Kualiti udara di kawasan-kawasan lain adalah di bawah paras 100.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Johan Setia mencatatkan paras 147 setakat 7 pagi.
Semalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata kualiti udara di rangkaian stesen pengawasan kualiti udara pihaknya didapati menurun dengan keadaan jerebu berkurang sejak pagi semalam berbanding kelmarin.
JAS berkata kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan bahagian barat Sabah.
Bagaimanapun ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan fasa Monsun Peralihan akan bermula semalam dan keadaan tersebut ‘sedikit sebanyak’ dapat mengurangkan keadaan jerebu di dalam negara, katanya.
JAS berkata satu mesyuarat bagi penyelarasan penguatkuasaan pembakaran terbuka di Johan Setia telah diadakan semalam bagi mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan sedia ada dan meminta bantuan daripada agensi-agensi lain seperti polis untuk membuat tangkapan terhadap pesalah yang sengaja mengadakan pembakaran terbuka di kawasan tersebut.
Agensi itu berkata pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Menurut JAS, asap jerebu dengan kepekatan sederhana hingga tebal dari pulau Sumatera didapati masih berterusan terutamanya di daerah Riau, Jambi, Sumatera selatan dan Sumatera tengah.
“Asap jerebu dari Sumatera ini tidak memberi kesan kepada bahagian pantai barat Semenanjung disebabkan pengaruh angin Timuran,” kata JAS.
Di Kalimantan, katanya titik panas di Kalimantan barat, tengah dan selatan didapati terus memberi kesan kepada kawasan di sekitarnya.
“Asap jerebu merentas sempadan juga didapati mengarah ke Laut Cina Selatan dan barat Sarawak,” kata JAS dipetik Bernama.
Bernama melaporkan, masalah jerebu rentas sempadan yang melanda selatan Thailand semakin buruk, apabila enam daerah mencatatkan IPU tidak sihat semalam.
Kualiti udara di enam wilayah yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Narathiwat, Yala, Songkhla, Satun, Trang dan Phuket pada sebelah pagi semalam.
Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand telah mengeluarkan amaran agar orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk menghadkan aktiviti luar selain memakai topeng muka bagi mengurangkan kesan jerebu, ke atas kesihatan.
“Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema dan sakit mata, harus mendapatkan rawatan segera,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.