PETALING JAYA: Penganjur Kongres Maruah Melayu berkata tafsiran pemimpin politik pembangkang yang mendakwa penganjuran program itu bertujuan menandingi Himpunan Penyatuan Ummah anjuran Umno-PAS adalah tidak benar.
Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Hashim Ismail berkata, kongres itu dibuat dengan kerjasama tiga universiti lain iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
“Kalau isu ini dipolitikkan, mungkin itu pandangan dari ahli politik. Kita bekerjasama dengan setiap universiti ini dan saya pula hanya menjalankan kerja-kerja dari Naib Cancelor UM Abdul Rahim Hashim. Dia panggil kami dan memberitahu ada isu untuk digerakkan secara akademik, maka kami buat apa yang patut.
“Kongres Maruah Melayu ini antaranya membincangkan mengenai permasalahan orang Melayu melibatkan aspek pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi. Kita sudah berikan topik ini kepada setiap universiti untuk ambil bahagian masing-masing,” katanya kepada FMT.
Dalam poster tersebar di media sosial, Kongres Maruah Melayu dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober depan, di Axiata Arena Bukit Jalil. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka akan memberikan amanatnya dalam kongres tersebut.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengkritik penganjuran kongres berkenaan yang berpandangan ia hanya menambah kekeliruan bangsa Melayu serta tidak menolak ia akan menjadi medan kepada perpecahan dan menjadi bahan ketawa bukan Melayu.
Hashim berkata, tidak dinafikan wujud pelbagai persepsi yang dikaitkan dengan kongres itu, selepas gambar beberapa pemimpin dari PPBM tular di media sosial, didakwa terlibat secara langsung dalam penganjuran kongres berkenaan.
“Tafsiran politik ini saya tidak mahu campur. Mereka ini penaja, ada macam-macam lagi pihak seperti dari syarikat tertentu. Kita mencari penaja, berdasarkan maklumat dari naib cancelor dijangka Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan berucap. Maka ramailah yang mahu bersama sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Hashim berkata pemimpin kini tidak boleh lari dengan hakikat kekhuatiran yang dibangkitkan rakyat, selepas pertukaran pentadbiran selepas Barisan Nasional kalah pada pilihan raya Mei lalu.
“Kita lihat dari aspek perpaduan nasional, kesan pemerintahan hari ini kepada ekonomi negara, hak-hak Melayu yang kononnya hari ini tercabar, kita lihat semua ini dari perspektif akademik. Ingin saya tegaskan, naib cancelor UM bukan ahli politik,” katanya.
Hashim berkata, berdasarkan perbincangannya dengan pihak pengurusan, program ini menyasarkan penglibatan orang muda, yang secara tidak langsung merupakan mahasiswa di universiti terbabit serta ahli akademik lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.