`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 24, 2019

Makna 30 September pada Asia Tenggara



Perayaan Hari Malaysia pada 16 September lalu tidaklah semeriah yang diharapkan kerana jerebu mula melanda negara, melibatkan Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Walaupun terdapat titik panas di Sarawak tetapi jerebu itu kebanyakannya berpunca dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Maka rakyat Malaysia berasa tidak senang kepada Indonesia. Sementara Jakarta juga bersikap defensif dengan menyatakan ada syarikat milik rakyat Malaysia yang turut disyaki menjadi punca pada kebakaran hutan.
Selepas tarikh 16 September itu, berakhirlah sambutan Bulan Kemerdekaan di Malaysia yang dikira bermula dari 17 Ogos tetapi seringkali ia diserlahkan mulai 1 Ogos. Dari tarikh itu, Jalur Gemilang dikibar, acara sambutan diadakan dan kisah sejarah negara diungkapkan baik melalui media konvensional mahupun dalam dunia maya. Selepas tarikh itu cakap-cakap mengenai sejarah negara dihentikan tetapi akan diulang semula pada Bulan Kemerdekaan tahun depan.
Tetapi ada satu tarikh bersejarah yang berlaku di Indonesia pada 30 September 1964 yang memberi kesan besar pada bukan saja Malaysia dan Singapura tetapi juga seluruh Asia Tenggara, benua Asia, malah dunia.
Tarikh itu ialah apa yang dinamakan Indonesia ketika pemerintahan Presiden Suharto sebagai Peristiwa Gerakan 30 September/Parti Komunis Indonesia (PKI) atau Gestapu G30S/PKI.
Bermula pada tarikh itu, pergolakan yang hebat berlaku di Indonesia, PKI bukan saja disingkirkan daripada arus perdana politik, tetapi juga diharamkan dan beribu-ribu ahli, penyokong dan simpatisannya dibunuh dan ditahan, antaranya ke Pulau Buru termasuk sasterawan terkenal Pramoedya Ananta Toer.
Maka jatuhlah tata politik Presiden Sukarno di Indonesia, dan digantikan dengan apa yang dinamakan sebagai Orde Baru pimpinan Suharto. Kesan pergolakan itu sampai ke Malaysia dan Singapura. Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia ditamatkan. Hubungan bukan saja pulih tetapi menjadi lebih kuat ketika Tun Razak menjadi perdana menteri. Perkembangan politik akibat peristiwa G30S/PKI juga membawa kepada penubuhan Asean dengan hubungan baik Malaysia dan Indonesia sebagai tulang belakangnya.
Melihat kembali Bulan Kemerdekaan, kemuncaknya ialah Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.. Sememangnya banyak peristiwa politik bersejarah berlaku pada Malaysia. Tetapi hakikatnya ia bermula dari 22 Julai yang mana Sarawak menyambut Hari Kemerdekaannya daripada British.
Ini diikuti dengan 9 Ogos iaitu hari pemisahan Singapura daripada Malaysia. Ia disambut sebagai Hari Kebangsaan republik itu. Malaysia tentunya tidak menyambut tarikh itu. Tetapi pada 9 Ogos 1965, bukan saja Singapura membentuk jati dirinya tetapi juga Malaysia yang ditinggalkannya. Bentuk Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September sudah ditukar secara berbeza apabila Singapura keluar. Ini kerana ketika Malaysia ditubuhkan, tonggak kenegaraan ini berupa pasangan Malaya-Singapura. Tetapi selepas Singapura keluar, negara ini berorientasikan Kuala Lumpur.
Tarikh yang bermakna selanjutnya ialah 17 Ogos. Secara rasmi ia tiada kaitan dengan Malaysia kerana ia merupakan Hari Kemerdekaan dan Kebangsaan Indonesia. Cumanya tarikh itu dikira bermula Bulan Kemerdekaan kerana hendak sampai pada penghujungnya iaitu 16 September.
Namun begitu, tarikh 17 Ogos 1945 itu pernah mempunyai erti besar pada sebahagian penduduk Malaya. Ini kerana ada pemuda Malaya yang turut menyertai Revolusi Indonesia untuk menentang Belanda seperti yang pernah diceritakan dalam cerpen Sasterawan Negara, Keris Mas.
Lagipun ketika Jepun di ambang menyerah kalah, satu usaha dari para pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) berjumpa Sukarno untuk merundingkan perisytiharan kemerdekaan Malaya bersama Indonesia pada 1945.
Walaupun KMM gagal mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos bersama indonesia, parti politik Melayu pertama di Malaya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) memperjuangkan penyatuan gagasan Melayu Raya yang bermaksud penggabungan Malaya dan Indonesia dengan slogan Malaya-Indonesia Satu.
Seperti yang diceritakan Ahmad Boestamam dalam memoirnya, aktivis PKMM merayakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan Pertama Indonesia dengan mengadakan perarakan pada 17 Ogos 1946 yang membawa kepada penubuhan Angkatan Pemuda Insaf (API), pertubuhan yang pertama diharamkan oleh British apabila Darurat diisytiharkan.
Apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Indonesia di bawah Sukarno adalah antara negara paling awal mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh 31 Ogos adalah juga Hari Kemerdekaan Singapura dan Sabah pada 1963 yang pada mulanya tarikh bagi penubuhan Malaysia. Tetapi penangguhan dibuat kerana menunggu keputusan referendum.
Ketika itu Indonesia membantah penubuhan Malaysia. Apabila ia diisytiharkan pada 16 September 1963, Sukarno melancarkan dasar Ganyang Malaysia. Pada masa itu, pemerintahan Sukarno didokong oleh gagasan Nasakom iaitu gabungan nasionalis, agama dan komunis yang terdiri daripada Parti Nasional Indonesia (PNI), Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) dan PKI.
Gabungan Nasakom ini tumbang dengan berlaku peristiwa Gestapu G30S/PKI. Apa yang berlaku pada malam itu adalah penuh kontroversi. Naratif yang dikemukakan oleh Orde Baru ialah sekumpulan tentera dalam kalangan penyokong komunis cuba merampas kuasa dengan membunuh jeneral tetapi ia dapat dipatahkan. Akibat itu PKI dipersalahkan dan keseluruhan pendokong komunis di seluruh negara diburu, dibunuh dan ditangkap bukan saja oleh tentera tetapi orang ramai terutamanya di kalangan kumpulan Islam.
Kejatuhan komunisme mengubah landskap geopolitik Asia Tenggara. Indonesia di bawah Suharto menjadi pro-Barat. Jakarta menamatkan Konfrontasi dan memulihkan hubungannya dengan Malaysia.
Rasional penubuhan Malaysia untuk menyelamatkan Singapura, Sarawak dan Sabah daripada jatuh kepada komunis sudah tidak relevan. Dengan tamatnya konfrontasi, adalah mudah bagi Malaysia menumpaskan gerila Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) dan Partu Komunis Kalimantan Utara (PKKU) kerana kedua-dua pertubuhan itu juga sudah tidak relevan.
Tetapi usaha mempertahankan kestabilan Asia Tenggara dilakukan dengan penubuhan Asean dengan Indonesia dan Singapura turut menjadi anggota pertubuhan serantau yang sebelum£ ini terdori daripada Malaya, Thailand dan Filipina. Asean juga ditubuhkan pada Ogos iaitu 8 Ogos 1967.
Tetapi hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia berlaku selepas Tun Razak menjadi perdana menteri dengan rancangan untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969.
Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperbanyakkan sekolah menengah kebangsaan dan penggunaan bahasa Melayu untuk pendidikan sains menuntut pengambilan banyak tenaga pengajar dari Indonesia.
Tun Razak dan Suharto turut menjayakan program pelaksanaan penggunaan ejaan yang seragam bagi bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia supaya bahasa Melayu dapat dimajukan sebagai bahasa Asia Tenggara yang digunakan dengan luas dan mengikut kemajuan zaman.
Asean kemudiannya menjadi benteng kepada kemaraan komunis di Indochina. Kini akhirnya Asean turut mencakupi Vietnam dan Laos yang masih berada dalam pemerintahan komunis tetapi sudah merupakan sebahagian daripada sistem politik dan ekonomi arus perdana dunia. Semua bermula dengan peristiwa berdarah yang berlaku pada malam 30 September 1965 itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.