`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 20, 2019

Mara Digital Mall terus ‘sepi’ walaupun kempen beli produk Islam ‘kencang’

Mara Digital Mall dikhususkan untuk menjual barangan IT dan gajet seperti telefon bimbit, laptop dan aksesori.
KUALA LUMPUR: Walaupun kempen “Buy Muslim First” (BMF) semakin mendapat sambutan, pusat teknologi maklumat dan komunikasi (IT) yang diusahakan Bumiputera di ibu kota masih kurang mendapat sambutan pengunjung.
Tinjauan FMT selama lebih sejam di Mara Digital Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati tingkat tiga bangunan tersebut lengang dan hanya terdapat beberapa kios menjual komputer riba dan telefon bimbit.
Didapati orang ramai yang melalui tingkat tersebut hanya untuk mengelak daripada menggunakan lif pada waktu puncak.
Kebanyakan mereka adalah kakitangan pasar raya, restoran dan pejabat yang terletak di tingkat paling atas bangunan tersebut.
Mereka melalui ruang legar Mara Digital Mall untuk ke tingkat bawah dan atas yang mempunyai beberapa restoran untuk makan tengah hari.
Situasi tersebut menyebabkan seorang peniaga di situ merasakan perniagaan mereka seolah-olah diboikot bangsa sendiri sejak penubuhannya lagi.
“Kalau nak beli produk Bumiputera dahulu, kenapa kedai kami ni diboikot?
“Sudah lama kami bergelut, bersaing dengan peniaga di sini. Jauh sekali nak bersaing dengan peniaga di Lowyat,” katanya yang menjual telefon bimbit.
Keadaan Mara Digital Mall yang lengang dengan beberapa kiosk jualan sudah ditutup kerana tidak mendapat sambutan.
Katanya, perniagaannya secara fizikal di Mara Digital Mall tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kurang mendapat sambutan sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun beliau berusaha membuat jualan secara atas talian melalui media sosial dan strategi itu menguntungkan.
“Saya boleh jual dengan harga yang fleksibel dan urusan lebih mudah. Boleh pos melalui Pos Laju ataupun buat penghantaran sendiri jika pembeli berada di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Sehingga kini katanya, jualan telefon bimbit secara atas talian boleh mencecah sehingga 20 biji sebulan berbanding satu hingga tiga telefon bimbit yang berjaya dijual di kedai.
Mara Digital Mall yang dikhususkan untuk peniaga Bumiputera-Melayu dilancarkan pada 8 Disember 2015 di Bangunan Mara, berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sejak penubuhannya, Mara Digital Mall mempunyai pembekal tunggal iaitu WGN Scan Sdn Bhd (WGN) yang berperanan membekalkan barangan dan produk perniagaan kepada usahawan di bangunan tersebut.
Terdahulu, pengurus bahagian pemasaran dan stor WGN Scan Sdn Bhd (WGN), Mohd Izzat Akbar Arif Amir Amran berkata, perniagaan mereka kurang mendapat promosi daripada media, selain “marketing” dan “brand” yang tidak kukuh menyebabkan hasil jualan dan pelanggan yang datang jauh berbeza ketika pusat itu mula beroperasi.
Baru-baru ini muncul kempen BMF yang dipelopori NGO Islam yang menggesa umat Islam mengutamakan barangan buatan Islam seboleh mungkin. Kempen tersebut bagaimanapun mendapat tentangan pihak tertentu, terutama DAP.
Pejabat pembekal tunggal WGN Sdn Bhd berada di tingkat 4 bangunan Mara Digital Mall.
Seorang pekerja yang menjaga kios komputer riba berkata, situasi tersebut menjadi kebiasaan sejak tiga tahun lalu apabila tiada pelanggan yang berminat untuk membeli barangan IT di situ.
Wanita awal 20-an itu yang mahu dikenali sebagai Izzah berkata, jualan komputer riba paling teruk berbanding telefon bimbit dan aksesori gajet.
Hal ini katanya, kerana peniaga berdepan persaingan yang sengit kerana barangan tersebut adalah daripada pembekal yang sama.
“Susahlah, kalau kami jual harga macam ni, kedai B jual harga lain, kedai C jual harga lain.
“Nanti jadi isu dengan pembekal atas pula,” katanya.
Ditanya apakah punca menyebabkan perniagaan mereka merudum, Izzah berkata, keadaan fizikal pasar raya itu yang hambar dan seperti tidak dipedulikan pembekal tunggal iaitu WGN.
Katanya, tiada semua orang yang melalui bangunan Mara Digital Mall mengetahui kewujudan kedai gajet dan IT di dalam bangunan tersebut.
“Buatlah promosi sikit. Letaklah papan tanda yang paparkan jenama komputer riba, aksesori telefon bimbit dan sebagainya.
“Kalau tulis Mara Digital Mall sahaja, orang tak tahu. Sampai ada saudara mara saya fikir bangunan ini tempat pekerja Mara baiki komputer,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, rata-rata peniaga enggan meluahkan kebimbangan itu kepada pembekal kerana khuatir timbul masalah dalam urusan kerja dengan WGN.
“Kami pilih untuk malas memberi komen. Nanti ada isu, kami juga yang susah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.