Helikopter MI-17-IV bersama dua juruterbang dan 13 kru yang berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang dijangka tiba kira-kira 10 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, Mohd Ruzaidi Ramlee, berkata helikopter MI-17-IV bersama dua juruterbang dan 13 kru akan berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor pagi ini dan dijangka tiba kira-kira 10 pagi.
“Penggunaan helikopter hanya efisien untuk kebakaran permukaan tanah. Selain pemadaman api, helikopter juga digunakan untuk membuat ‘fire break’ serta penghantaran anggota dan peralatan ke tempat sukar diakses melalui jalan darat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Helikopter dilengkapi peralatan “Bambi Bucket” berkapasiti 1,590 liter untuk pemadaman kebakaran hutan melalui kaedah “Fire Bucket” itu akan dikendalikan juruterbang Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dan Ahmad Hafiz Sulaiman.
Tiga belas kru itu terdiri daripada dua jurutera penerbangan, lima kuartermaster udara, empat anggota Pasukan Khas Udara Bomba dan dua “bowserman”.
Ruzaidi berkata, mereka akan membuat tinjauan udara terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan semasa kebakaran untuk perancangan misi pemadaman selanjutnya bersama komander operasi.
Operasi pemadaman kebakaran mencapai 50% setakat 7 malam tadi, apabila bomba yang dibantu pelbagai agensi, mengawal dan memadam kira-kira 49.8 hektar daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran, dengan tiada mangsa dilaporkan terbabit insiden itu.
Operasi turut mendapat kerjasama agensi luar termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Alam Sekitar.
Tahap kemerebakan tinggi berlaku akibat cuaca kering dan berangin, menyebabkan asap tebal merebak ke kawasan perumahan di sekitar Taman Bayu Damai, selain menghadapi cabaran kekurangan sumber air serta laluan masuk ke lokasi kebakaran sukar diakses.
Situasi itu menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan, menyebabkan kesukaran bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan, selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap kuat.
Seramai 153 mangsa daripada 50 keluarga terpaksa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal setakat 8 pagi tadi.
Semalam, di Sektor B, tumpuan diberikan kepada kerja pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 500 kaki dengan bantuan “breaching” dan pancutan “nozzle”, selain pembinaan “fire break”.
Di Sektor A, anggota bomba bersama APM dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memadam kebakaran di belakang kawasan perumahan menggunakan pam jentera, pam angkut dan sumber air pili bomba berhampiran. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.