`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 27, 2026

Mahkamah cadang lawat lokasi kematian Zara Qairina

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bercadang ke SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, minggu depan.

zara qairina
Prosiding pada Jumaat dijangka melibatkan seorang guru dan beberapa orang lagi akan dipanggil minggu depan, dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
 Mahkamah Koroner secara tentatif bercadang mengadakan sesi ‘locus in quo’ iaitu lawatan ke lokasi kejadian berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, minggu depan.

Peguam Shahlan Jufrim mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, berkata tarikh tepat lawatan ke asrama sekolah itu belum diputuskan.

“Dijangkakan kita akan melawat Sekolah (MKA) Tun Datu Mustapha sekali lagi pada minggu depan, tetapi tarikh akan ditentukan kemudian,’ katanya kepada pemberita selepas prosiding inkues kes itu dijalankan tertutup.

Beliau berkata, setakat ini, semua saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan, manakala prosiding pada Jumaat ini dijangka melibatkan seorang guru dan beberapa orang lagi akan dipanggil minggu depan.

Terdahulu, Shahlan berkata saksi kanak-kanak ke-23 dipanggil semula untuk memberi keterangan mengenai penerimaan beberapa barangan dan kertas bertulis yang dikaitkan dengan Zara.

Antara barangan dikemukakan sebagai bahan bukti dalam prosiding inkues itu ialah satu rantai kunci dengan patung avokado dan beberapa keping kertas.

Saksi memaklumkan mahkamah barangan itu diberikan oleh Zara melalui rakannya yang juga pelajar Tingkatan Satu, namun dia tidak ingat tarikh sebenar menerimanya.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025 iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos tahun sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.