Kalam Salan berkata penternakan babi mencetuskan bantahan walaupun dilakukan di mana-mana saja lokasi.

Merujuk Singapura, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berkata, negara itu memilih pendekatan lebih selamat dengan mengimport daging babi berbanding menternaknya.

“Buat dekat Kuala Langat (Selangor), Bukit Pelanduk (Negeri Sembilan) bantah. Hantar ke Benut (Johor) pun bantah juga. Hantar ke Kampung Baru Cina pun pasti bantah juga.
“Jadi, tak payah bela kita import saja. Import babi golek atau babi potong, macam ayam. Macam di Singapura lagi ramai yang makan babi tapi dia tak ternak dan ini selamat,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.
Semalam, kerajaan Selangor membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar atas nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menangguhkan sementara lokasi alternatif atau sehingga kaedah lebih sesuai ditemui.
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata keputusan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim memaklumkan bantahan keras terhadap projek itu.
Jumaat lalu, Anwar dilapor mencadangkan projek itu dibatalkan selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan terbabit yang perlu diberikan perhatian.
Pada 12 Jan lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan rancangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Sementara itu, Kalam berkata masalah utama sering dibangkitkan rakyat bukan semata-mata soal haiwan tersebut tetapi kandang yang tidak terurus sehingga menyebabkan pencemaran bau.
Beliau turut menegaskan pendiriannya sebagai Muslim yang menghormati kepelbagaian budaya dan agama dalam negara.
“Saya ada kebun, babi hutan masuk 15 hingga 20 ekor pun tidak busuk. Yang busuk itu kandang dan cara penyelenggaraan. Bukan babi.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya pun teringin nak makan babi, biawak dan ular tetapi agama saya melarang. Sebab itu saya tidak makan. Agama saya tidak pernah ajar untuk hina orang lain yang makan,” katanya.
Kalam juga berkata, membandingkan isu bau ternakan babi dengan makanan tertentu tidak wajar kerana banyak makanan lain juga mempunyai bau yang kuat namun diterima masyarakat.
“Budu walaupun busuk dia sedap…sebab itu kita makan dan banyak lagilah yang busuk-busuk tapi sedap,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.