Penganalisis berkata semua parti boleh bertanding di kerusi dituntut pada PRN dijangka tahun depan sekali gus elak polemik ‘kerjasama perpaduan’.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak menolak kemungkinan orang ramai akan mempunyai tanggapan kerajaan perpaduan di pusat dilihat tidak bersatu dan tiada hala tuju jelas untuk kerjasama peringkat negeri.
“Tetapi ada juga faham ini lebih kepada strategi dan mungkin pengundi akan menghargai dengan adanya lebih ramai calon daripada ‘dipaksa’ memilih parti mereka tidak sokong,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, FMT melaporkan kenyataan Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan yang berpendapat konsep ‘free for all’ mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama BN di negeri itu.
Katanya, semua parti boleh bertanding di kerusi dituntut pada PRN dijangka tahun depan, sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.
Untuk rekod, tiada kerjasama antara BN dan PH dalam pentadbiran kerajaan Johor.
PRN Johor 2022 menyaksikan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi manakala PH menang 12 diikuti Perikatan Nasional (3) dan satu oleh Muda.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata BN dan PH sebenarnya sudah bekerjasama menerusi PRK Simpang Jeram dan Pulai pada September 2023, menyaksikan Umno memberi laluan atas dasar kerusi tersebut disandang wakil Amanah.
“Sebab itu ditafsirkan ada kerjasama tetapi konsep ‘free for all’ ini semua bebas tanding di kerusi dimahukan. Kalau begitulah Amanah dilihat ‘tamak’ dan tak mahu hormati kerjasama selama tiga tahun berkenaan,” katanya.
Sebagai rekod, PH turut memberi laluan kepada Umno di DUN Mahkota pada 2024 yang menyaksikan kerjasama itu mencatat kejayaan dengan majoriti 20,648 undi berbanding 5,166 pada PRN 2022.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, pertembungan pada PRN Johor jika berlaku tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan peringkat persekutuan.
“Telah ada jaminan kerajaan persekutuan akan diteruskan sehingga tamat penggal. Bagaimanapun, ada sedikit risiko jika serangan berlebih-lebihan, jika tanding atas semangat demokrasi pasti tiada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, A Aziz Azizam dari Universiti Teknologi Mara berpandangan, kenyataan Aminolhuda yang disambut Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azlen Ambros sedikit-sebanyak memberi isyarat tiada kesepakatan dalam kerajaan perpaduan.
Selain itu, cadangan semua parti bertanding tanpa sebarang penyelarasan awal mencerminkan strategi ‘lawan dahulu, bersahabat kemudian’ yang tidak sihat dalam konteks politik perpaduan.
“Amalan ini berisiko besar menyebabkan pecahan undi, seterusnya melemahkan kekuatan kemenangan.
“Dari sudut politik dan statistik, kemenangan terhasil daripada undi berpecah membawa mandat lemah dan tidak mencerminkan sokongan rakyat yang benar-benar kukuh kerana tidak benar mewakili mandat lokaliti itu,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.