Ahli Parlimen Machang mempersoalkan mengapa hanya Sunway ditawarkan dalam urus niaga berkenaan dan sama ada rundingan itu dibuat secara tertutup.

Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa hanya Sunway ditawarkan dalam urus niaga berkenaan dan sama ada rundingan itu dibuat secara tertutup.
“Di mana pemain-pemain lain, di mana ‘open market process’? Adakah ini rundingan tertutup? Adakah ini rundingan siap pakej atau lebih tepat siapa orangnya?
“Lebih membimbangkan bagaimana Permodalan Nasional Berhad (PNB) tahu lebih awal. Siapa yang berunding bagi pihak PNB? Adakah PNB sendiri hadir dalam rundingan bersama Sunway? Atau PNB hanya diminta datang kemudian untuk menghalalkan…,”katanya.
Beliau berkata sebagai dana amanah Bumiputera, proses pelaburan PNB sepatutnya jelas dan telus, termasuk penglibatan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti.
Dalam satu makluman Bursa pada 12 Jan, Sunway mengumumkan ia telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.
Menurutnya, harga tawaran akan dilunaskan secara tunai sebanyak 10% manakala baki 90% lagi melalui terbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham.
Tawaran ini bergantung pada syarat Sunway memperoleh penerimaan lebih 50% saham mengundi IJM menjelang tarikh tutup.
Jika IJM gagal mematuhi keperluan penyebaran pegangan saham awam Bursa Malaysia Securities sebanyak 25% selepas tawaran itu, Sunway menyatakan ia tidak bercadang untuk menampung kekurangan tersebut dan mungkin akan memohon untuk menyahsenaraikan IJM.
Sunway turut menyatakan hasratnya untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM, mengekalkan syarikat itu sebagai anak syarikat berasingan di bawah Sunway Group.
Sementara itu berkaitan had umur pencen ketua hakim negara, Wan Fayhsal meminta kerajaan menaikkan had usia kepada 70 tahun, berbanding 65 tahun ketika ini.
Beliau berkata berkata langkah itu bagi memberi peluang kepada hakim berwibawa meneruskan perkhidmatan, seperti di beberapa negara lain termasuk United Kingdom (UK).
Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan mengapa bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak boleh dilanjutkan perkhidmatan selepas mencapai usia persaraan 65 tahun, sedangkan ia boleh dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
“Beliau (Tengku Maimun) mampu berkhidmat dan ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Profesor Ikhtisas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Lihat di UK, hadnya lebih 70 tahun dan di negara lain pun sama. Kenapa Tun Tengku Maimun dinafikan tahun lalu?” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.