
Menterinya, Aaron Ago Dagang, berkata pendekatan berfokus itu penting bagi memastikan usaha menyatukan rakyat dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Menurutnya, tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ dipilih sebagai teras amanat KPN tahun ini bagi menegaskan, pembinaan negara bangsa bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.
“Lima kluster itu merangkumi Tunas Madani, yang memberi fokus memberi fokus kepada pembentukan nilai perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda, Komuniti Madani, sebagai platform memperkasa perpaduan di peringkat akar umbi; serta Harmoni Madani, yang menekankan pengukuhan kefahaman dan toleransi antara komuniti.
“Dua lagi kluster ialah Rakyat Madani, yang meraikan kepelbagaian seni, budaya dan perayaan sebagai kekuatan negara, serta Warisan Madani, yang menumpukan pemeliharaan dan penghayatan warisan budaya sebagai asas identiti nasional,” katanya.
Jelasnya, konsep negara bangsa yang diketengahkan kementerian itu merujuk kepada proses berterusan menyatukan rakyat berbilang latar belakang melalui nilai bersama, kefahaman sejarah, identiti nasional dan rasa kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia.
Dalam konteks pelaksanaan pula, beliau menegaskan peranan jentera perpaduan termasuk pegawai perpaduan, kurator muzium, pegawai arkib dan pustakawan sebagai Jurutera Sosial Negara amat penting dalam menyemarakkan perpaduan serta memelihara memori dan warisan negara.
“Jentera itu perlu digerakkan secara menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan mesej perpaduan dapat diterjemahkan kepada tindakan di peringkat komuniti, selari dengan aspirasi pembinaan negara bangsa.
“Kita turut merancang penganjuran sesi libat urus, bengkel, persidangan dan perbincangan meja bulat bagi merangka ‘Blueprint Negara Bangsa’, yang akan menjadi rujukan utama kementerian dan agensi kerajaan dalam merangka dasar serta inisiatif berkaitan perpaduan nasional. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.