Anwar Ibrahim dijadual bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan selain bersama pengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, berkata sepanjang lawatan itu, perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selain bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turki.
Beliau berkata, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Turki untuk mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Lawatan ini turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
“Perdana menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum serta mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Turki dan diaspora Malaysia,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Tunku Nashrul berkata, selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi menerusi sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turki, selain sesi interaksi bersama media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia-Turki.
“Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini mencerminkan keazaman kerajaan Madani untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik, pragmatik dan berorientasikan hasil, berteraskan prinsip Malaysia Madani demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara,” katanya.
Menyentuh amanat perdana menteri hari ini yang menggariskan hala tuju negara bagi 2026, Tunku Nashrul berkata kerajaan akan terus memperkukuh komunikasi strategik bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat secara jelas, konsisten, dan berfakta.
Beliau berkata, usaha itu juga bertujuan memudahkan akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan dan peluang tersedia tanpa menimbulkan kekeliruan.
“Tahun ini turut menyaksikan tumpuan baharu menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan merancakkan sektor pelancongan, malah membuka peluang untuk menggerakkan ekonomi tempatan, memperkukuh ekosistem komuniti serta mempamerkan hospitaliti Malaysia sebagai destinasi unggul di rantau ini.” - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.