Timbalan presiden MIC berkata ia termasuk Makkal Sakti, IPF, Kimma, dan MUIP.

Katanya, pembukaan pintu oleh BN itu tidak seharusnya hanya terhad kepada PPP, namun kepada semua parti Mesra BN atau ‘Friends of BN’.
Beliau berkata, parti Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) juga boleh diterima masuk sebagai ahli gabungan penuh komponen BN.
“Mengintegrasikan rakan setia ini adalah satu keperluan strategik demi memperkukuh kepelbagaian kekuatan BN serta memupuk kestabilan politik jangka panjang.
“Penyatuan semula ini memperkasakan nilai perpaduan dan kestabilan yang kita kongsi bersama.
“Ini bagi memastikan kita membina satu barisan hadapan yang kental, yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat serta menambah baik landskap politik negara,” katanya kepada Berita Harian.
Awal hari ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan Parti Progresif Penduduk (PPP) kembali menjadi sebahagian gabungan selepas keluar komponen itu, pada 2018.
Pengumuman itu dibuat Zahid pada perhimpunan Agung tahunan PPP.
Beliau berkata, surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bertarikh 25 Nov 2025 yang parti itu menjadi antara parti komponen BN selain Umno, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Dalam pada itu, Saravanan menyambut baik kemasukan semula PPP.
Beliau juga melihat walaupun parti mesra BN itu sekian lama ‘menanti di luar pintu’, namun tetap konsisten menyumbang kepada jentera akar umbi dan kejayaan pilihan raya BN.
“Kemasukan rasmi mereka bukan sekadar soal pengiktirafan semata-mata, malah ia adalah bukti penghargaan terhadap komitmen lama mereka kepada BN.” - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.