`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, July 6, 2026

Calon BN mahu segera bina rumah mampu milik, stadium mini di Tenang

 Mohd Azahar Ibrahim berkata kedua-dua projek itu antara keutamaan bagi memenuhi keperluan penduduk, khususnya golongan muda dan B40.

Mohd Azahar Ibrahim
Calon BN bagi DUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata ramai penduduk khususnya golongan muda dan B40 masih belum memiliki kediaman sendiri.
SEGAMAT:
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berjanji mahu mempercepat projek pembinaan rumah mampu milik dan membina sebuah stadium mini jika diberi peluang mewakili penduduk di kawasan itu.

Azahar berkata kedua-dua projek berkenaan merupakan antara keperluan utama penduduk, khususnya golongan B40 serta belia yang kekurangan kemudahan rekreasi dan sukan.

“Saya difahamkan cadangan pembinaan rumah mampu milik Johor telah ada malah ada yang sudah diluluskan, namun atas sebab tertentu pelaksanaannya ditangguhkan.

“Kita berharap projek ini dapat diteruskan kerana ramai penduduk terutama golongan B40 memerlukan rumah sendiri,” katanya kepada FMT.

Azahar berkata, pembinaan sebuah stadium mini sebagai antara kemudahan yang telah lama diperlukan masyarakat di Labis.

“Saya memperjuangkan perkara ini sejak menjadi Adun dahulu kerana Labis masih belum mempunyai padang atau stadium yang sesuai.

“Kemudahan seperti ini penting untuk menarik golongan muda menjalankan aktiviti riadah dan sukan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata isu banjir kekal menjadi antara rungutan utama pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan berterusan selama beberapa hari sehingga menyebabkan banjir besar di Tenang dan kawasan sekitar Labis.

Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini sudah mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah itu, termasuk projek tebatan banjir yang difahamkan akan mula dilaksanakan.

Azahar turut berharap pengundi yang masih belum membuat keputusan menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri sebelum mengundi.

“Kita berharap mereka membuat pertimbangan secara matang dan melihat usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Johor, termasuk menarik pelaburan serta meneruskan agenda Maju Johor 2030,” katanya.

Azahar bukan calon baharu di Tenang. Beliau pernah menjadi Adun Tenang selepas memenangi PRK pada 2011, dan mewakili kawasan berkenaan sehingga 2018.

Pada PRN Johor kali ini, beliau kembali bertanding mewakili BN dan dicabar Elia Nadira Sabudin (PH-Amanah), Normala Sudirman (PN-PAS) dan Siti Aisyah Zobir (bebas).

Pada 2022, kerusi DUN Tenang dimenangi BN menerusi Haslinda Salleh dengan majoriti 1,736 undi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.