Pengerusi Barisan Nasional bagaimanapun menghargai sokongan yang diberikan PAS termasuk kepada calon MCA dan MIC di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional.

Beliau bagaimanapun menghargai sokongan yang diberikan PAS termasuk kepada calon MCA dan MIC di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
“Itu sokongan daripada kepimpinan PAS, kita hargai sokongan itu. Kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh Umno khususnya dengan PAS.
“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan dalam kertas undi yang akan dibuka 11 Julai ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya.
PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC pada PRN Johor sebagai sebahagian strategi mengekang peluang Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, daripada membentuk kerajaan negeri.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata, arahan mengundi calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN turut terpakai kepada calon bukan Melayu daripada komponen BN.
Mengulas lanjut, Zahid turut mendakwa sokongan bukan Melayu termasuk masyarakat Cina kepada BN semakin meningkat dan berharap ia akan diterjemahkan di kertas undi pada Sabtu ini.
“Gelombang sokongan pengundi Cina kepada calon BN bertambah. Kita memang meletakkan calon ‘underdog’ di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak pengundi Cina.
“Tetapi oleh kerana mereka telah melihat bahawa -wakil rakyat mereka yang dahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding dengan harapan yang mereka letakkan, jadi mereka memberitahu saya ‘ini kalilah’ kepercayaan diberikan kepada calon BN,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zahid turut menafikan BN menggunakan sentimen Najib Razak untuk berkempen dalam pilihan raya kerana ia melibatkan kuasa Agong.
“Itu (pengampunan) adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, itu bukan isunya di Johor (tidak ada kaitan dengan PRN),” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.