PH akan menurunkan harga rumah dan kereta supaya hutang rumah tangga turun ke paras 75% KDNK, kata pemimpin PKR
PETALING JAYA: Walaupun paras hutang rumah tangga menurun dari 88.3% ke 84.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), ia masih tinggi dan mendedahkan bank kepada risiko sekiranya berlaku krisis kewangan, kata Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago.
Beliau memberi respons terhadap laporan badan perunding pelaburan Moody yang bimbang tentang paras hutang rumah tangga walapun risiko kredit sektor itu menurun pada tahun 2017 berbanding 2016.
“Perlu ditanya kenapa hutang rumah tangga begitu tinggi? Sama ada orang ramai berbelanja melebihi kemampuan atau paras pendapatan lebih rendah daripada kos hidup,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata akibatnya orang ramai terpaksa berhutang untuk hidup. Berhutang untuk membeli kereta dan rumah mahal serta bil kredit kad yang tinggi.
Kelas menengah Malaysia mendapat terlalu banyak kelebihan, dan sebahagian besar pendapatan mereka adalah untuk membayar hutang.
“Sekiranya berlaku krisis kewangan atau kelembapan ekonomi di negara ini dan peminjam gagal membayar hutang, bank akan hadapi masalah.”
Kata Santiago, bagi mengatasi masalah ini gaji perlu dinaikkan dan kos hidup diturunkan.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Kelana Jaya mewakili PKR, Wong Chen berkata, penurunan paras hutang rumah tangga merupakan perkembangan menggalakan.
Penurunan itu katanya mungkin disebabkan angka KDNK yang lebih tinggi dan kemerosotan permintaan terhadap hartanah.
“Saya mahu melihat paras hutang rumah tangga turun ke 75% KDNK melalui penurunan kos hidup.
“PH merancang mencapai matlamat ini melalui penurunan harga rumah dan kereta,” katanya.
Perancang kewangan, Robert Foo menggesa orang ramai merangka pelan jangka panjang bagi mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.
“Kenal pasti sumber pendapatan dan tentukan sejauh mana kemampanannya sekiranya berlaku perubahan sifat pekerjaan, termasuk pendigitalan dan automasi. Rekodkan perbelanjaan dan tentukan keutamaannya,” kata beliau.
“Anda mungkin tidak mampu bersedia untuk perubahan itu. Hari ini mungkin gaji anda besar dengan pekerjaan yang ada, tetapi tiba-tiba mendapati anda hilang pekerjaan akibat pembuangan pekerja atau industri alami kemerosotan.” -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.