`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 18, 2018

Lelaki dipercayai suspek Sosma mati dalam tahanan polis

Thanabalan Subramaniam ditahan ketika menghantar anak ke sekolah bulan lalu.
SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kapar yang ditangkap polis 20 hari lalu meninggal dunia dalam tahanan.
Menurut ahli keluarga, pengajar kelas memandu Thanabalan Subramaniam ditangkap polis di luar SJKC Soo Jin pada 29 Mac lepas, semasa menghantar salah seorang anaknya ke sekolah.
Malam tadi, ahli keluarga berkejar ke hospital, selepas menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan Thanabalan sudah meninggal dunia, didakwa kerana serangan jantung.
Ditemui FMT di Hospital Shah Alam, ahli keluarga mendakwa polis memberitahu mereka Thanabalan ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.
“Kami tidak dapat bertemu dengannya selepas ditahan kerana dikatakan dia ditahan bawah Sosma,” kata seorang ahli keluarga.
Bagaimanapun mereka tidak tahu atas sebab apa bapa kepada 2 orang anak itu ditangkap.
Ahli keluarga berkata adik lelaki Thanabalan, Murugan, juga ditangkap sehari sebelum itu, juga didakwa bawah Sosma.
Ahli Parlimen Kapar G Manivannan ketika ditemui di hospital berkata bedah siasat akan dijalankan pagi ini.
Buat masa sekarang, beliau berkata polis memberitahu punca kematian tidak boleh didedahkan kerana kematiannya sedang disiasat.
Beliau berkata belum jelas sama ada Thanabalan meninggal dunia di balai polis, dalam perjalanan ke hospital atau di hospital.
“Apa yang pasti, ini ialah kematian dalam tahanan.
“Pejabat saya sedang mendapatkan pakar perubatan dari panel pakar kami untuk menyertai dan menjadi pemerhati bedah siasat itu.”
Manivannan berkata pihak keluarga mungkin akan meminta bedah siasat kedua bergantung kepada hasil bedah siasat.
Beliau berkata polis memaklumkan ada kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi di balai polis dan Thanabalan berkongsi sel dengan tahanan lain.
Manivannan juga menggesa polis bertemu ahli keluarga Thanabalan dan menjawab tanda tanya mereka berkenaan penahanan Thanabalan dan kematiannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.