ifwan@bh.com.my
MUSIM durian di Johor kali ini bermula Jun lalu, namun kini sudah berada di penghujungnya.
Tidak lama lagi, kemeriahan puluhan gerai menjual durian di tepi jalan, terutama di sekitar bandar raya Johor Bahru, selain beberapa kawasan pengeluaran utama, termasuk Segamat, Muar, Tangkak dan Batu Pahat akan beransur pudar.
Johor antara negeri pengeluar raja buah paling besar di Malaysia dengan keluasan kawasan tanaman sehingga 15,630 hektar dan nilai pengeluaran hasil kira-kira 700,000 tan setahun.
Menyedihkan, negeri ini turut tidak terkecuali terpalit imej buruk susulan taktik jualan durian oleh peniaga.
Setiap kali musim durian, ada saja aduan atau ketidakpuasan hati pelanggan mengenai tindakan peniaga yang dikatakan mengambil kesempatan. Ada yang meletakkan harga terlalu tinggi, tidak kurang juga menjual durian rosak serta tidak berkualiti dan banyak lagi.
Apa pun, isu paling menjengkelkan pelanggan, termasuk penulis sendiri berkaitan taktik jualan atau pemasaran tidak jujur, khususnya membabitkan tanda harga.
Banyak kali juga penulis serta ramai lagi pelanggan tertipu dengan tanda harga mengelirukan dipamerkan segelintir peniaga durian tepi jalan.
Sebagai contoh, peniaga mempamerkan tanda harga murah antara RM3 atau RM5 sekilogram, yang jelas menarik perhatian pelanggan. Namun, malang apabila pelanggan singgah di gerai terbabit, durian murah dikatakan sudah habis atau ketiadaan stok, sebaliknya hanya tinggal buah yang harganya jauh lebih mahal.
Seorang penggemar durian ditemui penulis, Mohd Nazrib Rozali, 35, dari Pontian, mengakui dirinya kerap juga tertipu dengan taktik sebegitu.
“Dari jauh pelanggan nampak tanda harga besar mengenai durian murah yang dijual, namun sebaik datang ke gerai, kita diberitahu buah murah sudah habis, hanya tinggal durian mahal.
“Biasanya saya tidak meneruskan hasrat membeli, namun ada juga rakan yang ‘pejam mata’ beli durian mahal kerana sudah bersusah payah mencari tempat meletakkan kenderaan untuk ke gerai terbabit,” katanya.
Perbuatan peniaga tidak jujur itu jelas tidak bertanggungjawab. Menyedihkan bukan sahaja pelanggan tertipu, malah peniaga durian yang jujur juga terkena tempias apabila turut dilabel sama seperti mereka.
Kesannya, pelanggan enggan singgah di gerai walaupun melihat tawaran harga murah yang betul kerana menganggap ia juga menipu.
Ini diakui peniaga, Zura Ahmad, 34, yang membuka gerai di hadapan Sekolah Agama Taman Dahlia di Johor Bahru, apabila turut dilabel menipu ketika mengiklankan harga murah melalui Facebook bagi durian yang dijual.
Cukup simpati, namun itu nasib menimpa peniaga seperti Zura. Tempias diterima ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Dalam isu ini, masyarakat perlu tahu ada cara memastikan hak sebagai pengguna tidak dipermainkan sewenang-wenangnya oleh peniaga tidak jujur sebegini.
Andai ada kesalahan dikesan berkaitan tanda harga mencurigakan, jangan ragu-ragu membuat aduan kerana pelbagai saluran disediakan, khususnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan itu.
Selain melalui talian Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP, iaitu 03-88826245, aduan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp ke 019-2794317 serta e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my. KPDNHEP turut menyediakan aplikasi aduan melalui telefon pintar Ez ADU.
Dengan aduan dilakukan, sekurang-kurangnya peniaga tidak jujur ini sedar mereka tidak selamanya ‘selamat’ kerana ramai pengguna bijak luar sana ada untuk memerhatikan mereka.
Biar mereka tahu, risiko hukuman berat contohnya denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atas kesalahan mempamerkan tanda harga mengelirukan, menunggu mereka jika masih tidak insaf dan sedar.
Penulis adalah wartawan Berita Harian Johor
-nst
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.