Presiden Umno puji keberanian Dr Akmal Saleh tapi ingatkan ketua Pemuda berhati-hati supaya tidak terima nasib sepertinya yang pernah ditahan ISA.

Zahid berkata, sebagai ‘ayahanda’ di dalam keluarga besar Umno, beliau tidak pernah ‘mengawal’ ketua Pemuda itu walaupun kerap bersuara keras.
Namun, mengimbau pengalamannya sebagai ketua Pemuda Umno, Zahid mengingatkan Akmal supaya lebih berhati-hati dalam perjuangan politik.
“Akmal beruntung, tak masuk ISA. Ayahanda masuk ISA…jangan terpijak kulit pisang macam ayahanda.
“Bila Akmal bergaduh, ada ayahanda kawal? Ada ayahanda larang? Ada ayahanda hukum? Tidak ada, kan? Saya ayah yang baik. Adakah ayah tak sayang pada anak yang sekali-sekali nakal? Sayang,” katanya pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Zahid berkata, beliau sentiasa memberi ruang kepada Pemuda, termasuk akur apabila diminta mempertimbangkan calon daripada sayap itu dalam PRK termasuk di Sabah.
Katanya, walaupun Akmal lantang, beliau tidak pernah menghalangnya daripada bersuara atau menganjurkan konvensyen Pemuda.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno 3 Jan, Akmal menyeru parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang, sambil memetik pelanggaran berulang terhadap apa yang dipanggil sebagai ‘garis merah’ membabitkan isu 3R iaitu kaum, agama, dan institusi raja.
Akmal turut membawa naratif ‘DAP musuh Umno’ dengan mahu melancarkan serangan lebih agresif kepada pemimpin parti bukan Melayu itu, walaupun bersama dalam kerajaan perpaduan.
“Kalau anak nakal dan sayang presiden sekali, ayahanda akan sayang dua kali. Tapi orang akan lihat, kalau anak itu baik, mereka kata mesti macam bapanya. Kalau anak itu nakal, mereka tanya bapanya siapa,” kata Zahid mencetuskan keriuhan perwakilan.
Pada September 1998, Zahid yang ketika itu ketua Pemuda Umno ditahan bawah ISA bersama empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1)(a) ISA kerana didakwa mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara.
Penahanan itu dibuat sehari selepas Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, ditahan bawah akta sama. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.