Naib Presiden Umno berkata, kesabaran dan tolak ansur parti itu ada had.

Menegaskan kesabaran parti itu ada batasnya, Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Umno tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain.
“Kami tak ganggu rumah kamu, dan jangan sesekali cuba masuk dan rosakkan rumah kami. Kesabaran kami ada hadnya. Tolak ansur kami ada garisnya dan hormat kami juga ada batasnya.
“Jika orang buat baik dengan kita, kita juga boleh berbuat baik. Tetapi jika ada yang nak buat jahat dengan kita, kita juga reti buat jahat 1,000 kali kepada mereka,” katanya ketika ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian dipercayai merujuk hantaran media sosial Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Yeo Bee Yin sebelum ini yang dilihat meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuan Najib untuk menjalani tahanan rumah.
Menteri besar Pahang itu berkata, peringatan Presiden Umno Zahid Hamidi kepada parti dalam kerajaan perpaduan supaya menghormati Umno dan menjaga sensitiviti orang Melayu bukan sekadar retorik.
“Saya melihat sendiri ketegasan itu disampaikan secara berterus terang dan berani di hadapan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin-pemimpin kerajaan perpaduan yang lain,” katanya.
“Ketika ‘retreat’ kerajaan perpaduan yang kami hadiri baru-baru ini, Presiden (Zahid) dengan jelas dan tanpa berselindung mengingatkan mereka tentang pentingnya menjaga hati orang Melayu.”
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut mengingatkan ahli Umno supaya menghentikan perbalahan dalaman jika mahu menang pilihan raya.
“Kalau kita terus bergaduh, terus bersengketa, musuh akan curi kerusi kita. Lagipun kenapa kita hendak bergaduh? Kenapa hendak jadi pengadu domba? Pengadu domba ini musuh parti. Batu api, tikam belakang dan pengkhianat .. semua watak-watak ini tidak boleh ada dalam Umno.
“Watak-watak inilah yang menyebabkan Umno kehilangan begitu banyak kerusi pada pilihan raya yang lalu. Ini realiti yang tidak boleh kita nafikan,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.