Menteri perpaduan negara berkata kejadian baru-baru ini iaitu bakar kereta aktivis, hina simbol agama Hindu dan serangan terhadap pendakwah tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius tiga kejadian yang mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat, antaranya tiga kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra dibakar pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, selain itu satu video tular memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama tersebut.
Menurutnya, satu lagi insiden melibatkan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth, yang turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu serta ketenteraman awam.
“Sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“… dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” kata Aaron dalam kenyataan, sambil menegaskan keharmonian negara tidak akan sesekali digadai oleh tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Aaron menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat selaras undang-undang sedia ada.
“Tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi, khususnya di media sosial ketika berdepan isu sensitif melibatkan kaum dan agama.
“Sebarang perbezaan pandangan harus ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang,” katanya.
Aaron turut menegaskan Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati serta kefahaman antara agama dan budaya, dan nilai tersebut perlu terus dipertahankan oleh semua pihak.
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan serta kestabilan negara sentiasa terpelihara,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.