Namun Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PAS berkata mereka mahu pandangan mereka diambil kira apabila RUU itu dibentang semula, Jun depan.

Beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) memberitahu FMT bagaimanapun sokongan itu hanya diberi jika pandangan mereka diambil kira seperti merujuk pelantikan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu serta mengasingkan kuasa menteri kewangan dan perdana menteri.
Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata dua perkara besar itu diharap dimasukkan dalam tambah baik kepada RUU terbabit yang gagal diluluskan kerana tidak disokong dua pertiga wakil di Dewan Rakyat.
“Sepatutnya Ahli Parlimen kerajaan bertanggungjawab meluluskan semua usul kerajaan, pembangkang tugasnya semak dan imbang dan mengkritik untuk tambah baik.
“Dalam soal RUU had tempoh jawatan PM, kami bukan tak menyokong,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin dari Bersatu turut senada dengan Afnan.
“Pembangkang tidak menolak RUU berkenaan, sebaliknya ia perlu dipinda dengan tidak memberi kuasa kepada perdana menteri memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.
Ketua Wanita PN Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan sepatutnya bijak menyusun dan merancang untuk meluluskan RUU berkenaan.
“Kerajaan ada jumlah Ahli Parlimen lebih 2/3 dan patut dirancang sebaiknya.
“Kita sudah bersedia dan berkecuali apabila kerajaan tak terima pandangan semasa perbahasan, sebab kita jangka kerajaan boleh menang,” katanya.
Hari ini, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan membentangkan semula RUU terbabit pada Jun depan selepas cubaan sebelum ini hanya mendapat 146 undi, kurang dua daripada 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Pada Isnin, Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Dilaporkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU tersebut.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata dua daripada lapan wakil rakyat kerajaan terbabit telah mengemukakan surat penjelasan rasmi kepada Ketua Whip Fadillah Yusof manakala enam lagi masih ditunggu penjelasannya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.