`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 




25 Ogos 2026

Wednesday, August 26, 2026

Beri notis awal, berunding sebelum isytihar cuti khas, kata majikan

 MEF kata pertimbangan wajar perlu diberikan terhadap implikasi operasi sektor swasta, manakala FMBA kata pengumuman mendadak beri kesan kepada keupayaan PKS mengawal selia operasi dan aliran tunai.

kilang
Pengumuman cuti khas pada saat akhir boleh menjejaskan jadual operasi, kos tenaga kerja dan aliran tunai perniagaan, menurut MEF dan FMBA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan menetapkan tempoh notis minimum serta berunding dengan pihak industri sebelum mengisytiharkan sebarang cuti peristiwa khas pada masa depan.

Mengulas pengisytiharan cuti peristiwa pada 1 Sept oleh kerajaan Selangor, Presiden Syed Hussain Syed Husman berkata pihaknya tidak membantah namun pertimbangan wajar perlu diberikan terhadap implikasi operasi sektor swasta.

Menurutnya, penentuan jadual tenaga kerja dan pengeluaran bagi industri beroperasi 24 jam seperti perkilangan, logistik, kesihatan dan perhotelan selalunya dirancang beberapa minggu atau bulan lebih awal.

Tambahnya, perniagaan yang perlu beroperasi pada tarikh berkenaan terpaksa menanggung kos tambahan merangkumi bayaran kerja lebih masa, elaun syif, dan kos pengangkutan mengikut Seksyen 60D Akta Kerja.

“Notis singkat sebegini menyukarkan penyesuaian jadual syif dan operasi rantai bekalan, sekali gus memberi kesan domino kepada sasaran pengeluaran serta komitmen penghantaran antarabangsa,” katanya kepada FMT.

“Kerajaan persekutuan dan negeri perlu menetapkan tempoh notis minimum yang munasabah bagi memberi masa kepada majikan menyesuaikan jadual operasi, selain berunding dengan sektor swasta sebelum mengumumkan sebarang cuti khas.”

Menteri Besar Amiruddin Shari mengisytiharkan cuti peristiwa khas pada 1 Sept sempena kejayaan kontinjen Selangor Sukma 2026 melepasi sasaran 80 emas. Kejohanan yang selesai pada 24 Ogos lalu itu menyaksikan Selangor meraih 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Sementara itu, Exco Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Raymond Woo, berkata pengumuman cuti secara mendadak memberi kesan ke atas keupayaan perusahaan kecil dan sederhana mengawal selia operasi dan aliran tunai.

“Keupayaan perniagaan untuk terus bertahan bergantung kepada kebolehan mendapat perolehan yang cukup untuk menampung kos semasa seperti gaji dan modal permulaan.

“Jika jualan terjejas akibat gangguan operasi, keterjaminan perniagaan akan tergugat dan ini secara langsung memberi kesan kepada masa depan pekerja,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan lebih peka dan memahami realiti kelangsungan perniagaan sebelum menambah sebarang bebanan kewangan baharu kepada majikan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.