Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata PH perlu perkukuh jentera akar umbi dan sokongan kepimpinan terutamanya untuk menembusi pengundi Melayu.


Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kelemahan ketara PH ketika ini adalah struktur kepimpinan yang dilihat kurang membantu Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam kempen.
“Anwar nampak berseorangan tanpa sokongan padu kepimpinan utama parti, sedangkan PKR terlalu bergantung kepada beliau yang kini menghampiri usia 80 tahun,” katanya kepada FMT.
Fauzi mengulas gesaan bekas pemimpin PKR, Tian Chua, supaya PH membentuk strategi dan pakatan politik baharu lebih inklusif, berbanding model tiga parti ketika ini yang disifatkannya sudah ketinggalan zaman.
PH kini dianggotai PKR, DAP dan Amanah.
Fauzi berkata siri kekalahan PH dalam PRN sebelum ini mungkin mendorong gabungan itu mempertimbangkan perubahan segera, termasuk membuka ruang lebih luas kepada bekas pimpinan.
Fauzi tidak menolak kemungkinan keterbukaan Anwar terhadap bekas pemimpin parti termasuk yang pernah mempunyai isu dengan parti dalam beberapa gerakan politik, demi kelangsungan PH serta PKR.
“DAP mungkin fobia dengan pemimpin yang terlibat dalam Langkah Sheraton 2020, tetapi PH memerlukan jentera Melayu-Muslim yang berakar umbi.
“PKR dan Amanah gagal menembusi segmen itu, jadi mereka mungkin mengharapkan ‘magis’ daripada bekas pemimpin yang kini bersama Bersatu,” katanya yang turut merujuk Mohamad Azmin Ali.

Sementara itu, saintis politik Wong Chin Huat berkata PH perlu berhati-hati supaya usaha meluaskan pengaruh tidak menyebabkan gabungan tersebut dilihat oportunis atau sanggup mengetepikan prinsip demi kuasa.
“Jika PH atau PKR mahu meniru Umno menjadi ‘Rumah Bangsa’, jaga-jaga kemudaratannya. Pengundi reformis mementingkan prinsip,” katanya dari Universiti Sunway.
Katanya, jika PKR dilihat terlalu oportunis, ia boleh menyebabkan pengundi reformis beralih kepada Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang kini cuba menarik kelompok itu.
Wong berkata, sekiranya PKR mahu berdamai dengan bekas pemimpinnya seperti Azmin, ia tidak boleh bertindak seolah-olah ‘Langkah Sheraton’ tidak pernah berlaku.
“Bukan jemput dia balik PKR semata-mata untuk isi kekosongan kepimpinan. Kalau nak berdamai, berdamailah dengan cara reformis yang sah dari sudut idealisme demokrasi,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.