`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 




25 Ogos 2026

Tuesday, August 25, 2026

Titik terendah dan sisi gelap

 Dari satu segi, kita selalu berharap manusia patut berubah tetapi ada ketikanya kita marah pula apabila manusia benar-benar berubah.

ronasina

Sejak kebelakangan ini istilah yang saya sering lihat di media sosial ialah ‘titik terendah’ dan ‘sisi gelap’. Apabila seseorang menulis di media sosial tentang hari-hari getir hidupnya, maka akan timbullah istilah ini. Atau pun bila seseorang berada di dalam podcast akan sampailah bahagian cerita tentang ditimpa kesusahan. Ia mungkin tentang kehilangan pekerjaan atau perniagaan jatuh, mungkin kisah rumah tangga berantakan, kehilangan orang tersayang atau apa saja peristiwa yang membuatkan dia berasa seluruh dunia sedang membenamnya. Bagi mereka, itulah titik terendah dalam hidup yang cukup menyiksakan.

‘Sisi gelap’ pula biasanya merujuk kepada bahagian kehidupan yang tidak begitu sedap hendak disingkap. Kesilapan lama, perangai buruk, kehidupan yang liar sebelum berubah atau perkara yang kalau boleh kita mahu padam daripada sejarah hidup sendiri. Sebelum ini istilah yang digunakan ialah ‘sejarah hitam’ dan juga ‘zaman jahiliyah aku dulu’.

Dua istilah ini bukanlah baru. Bersempena Maulidur Rasul, saya terkenang tentang satu sisi kehidupan Nabi Muhammad yang ada kaitannya dengan istilah ‘titik terendah’ dan ‘sisi gelap’ yang mungkin jarang dijadikan bahan renungan.

Kita selalu menyebut baginda sebagai sebaik-baik contoh. Kita mencontohi akhlak, ibadah, kepimpinan, kesabaran dan cara baginda bermasyarakat. Tetapi mungkin kita terlupa baginda juga boleh menjadi contoh bagaimana seseorang harus bangkit apabila dugaan hidup datang menguji. Kalau mahu menggunakan istilah hari ini, Rasulullah melalui bukan hanya satu titik terendah tetapi berkali-kali. Baginda mengenal kehilangan sejak sebelum sempat mengenal dunia.

Ayahanda kepada baginda, Abdullah, meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan. Ketika berusia sekitar enam tahun, ibu baginda, Aminah pula meninggal dunia. Baginda kemudian dipelihara datuk baginda iaitu Abdul Muttalib, tetapi kira-kira dua tahun kemudian datuk pula meninggal dunia.

Bayangkan betapa sedihnya nasib insan sekecil itu. Belum pun berusia 10 tahun, baginda sudah mengenal apakah ertinya kehilangan orang-orang yang menjadi tempat seorang kanak-kanak bergantung. Tetapi kehilangan terus berlaku apabila baginda dewasa.

Siti Khadijah adalah isteri yang membahagiakan. Beliaulah antara manusia pertama yang mempercayai baginda ketika orang lain meragui dan menentangnya. Khadijah menjadi tempat baginda mendapat ketenangan dan sokongan dalam tahun-tahun awal kerasulan yang sukar. Siti Khadijah memberikan kebahagiaan sepenuhnya kepada baginda yang kekosongan. Tetapi Khadijah meninggal dunia. Rasulullah menangis ‘teruk’ (juga istilah generasi sekarang) kerana hatinya hancur.

Dalam tempoh yang berdekatan itu juga, Abu Talib bapa saudaranya yang selama ini memberikan perlindungan kepada baginda turut meninggal dunia. Tempoh itu begitu berat sehingga dikenali dalam sirah sebagai ‘Am al-Huzn’ atau Tahun Dukacita.

Baginda juga diuji dengan kematian anak-anaknya. Semua anak lelaki baginda meninggal dunia ketika masih kecil. Kemudian di Uhud, Hamzah Abdul Muttalib, bapa saudara yang begitu dekat dengan baginda, gugur dalam peperangan. Bayangkan kalau semua ini berlaku kepada kita pada zaman internet ini, berapa kali agaknya kita akan mengatakan, “Inilah titik terendah dalam hidup aku”? Apakah kita akan mengalami ‘depression’ seperti yang selalu kita tulis di medsos?

Kita barangkali beranggapan yang titik terendah adalah satu takat paling bawah yang akan kita alami hanya sekali. Selepas itu kita berasa kehidupan kita akan beransur menjadi semakin baik. Hakikatnya, hidup tidak pernah menjanjikan begitu. Kita boleh bangkit daripada satu kesedihan kemudian beberapa tahun selepas itu akan jatuh lagi dengan kesedihan yang lain. Kita boleh menyangka yang kita sudah melepasi satu ujian terbesar dalam hidup, tetapi tak menjangka akan datang pula ujian lain yang lebih berat. Hidup kita bukan macam dalam wayang.

Dari sirah Rasulullah kita belajar bahawasanya orang yang baik juga tidak terlepas daripada ujian kesulitan. Sebaliknya, ia mengajar bahawa kesedihan itu nyata kerana kegembiraan juga nyata, kehilangan itu nyata kerana dikurniakan sesuatu yang membahagiakan juga nyata. Kesusahan tidak seharusnya menjadi penentu arah akhir kehidupan seseorang. Dengan ujian-ujian berat sebegitu, Rasulullah dilihat seolah-olah tidak menerima kesan akibat beberapa kehilangan kerana baginda terus bangkit berhijrah ke titik hidup seterusnya. Inilah yang wajar sekali kita contohi.

Manakala istilah ‘sisi gelap’ pula mengungkap kisah betapa ramai sahabat yang datang kepada baginda sebelumnya mempunyai masa lalu yang tidak indah. Umar al-Khattab adalah antara penentang paling kuat Rasulullah sejak awal dakwah. Begitu juga Khalid al-Walid yang pernah berada di pihak yang memerangi umat Islam sebelum akhirnya memeluk Islam dan menjadi salah seorang ketua perang tentera Islam yang terpenting pula. Bilal bin Rabah pasti tak akan lupa betapa tersiksanya didera ketika menjadi hamba abdi sehingga hampir menemui maut. Bermakna, masyarakat yang dibina Rasulullah bukanlah masyarakat yang terdiri daripada manusia yang turun dari langit dalam keadaan sudah siap sempurna. Rasulullah menghimpunkan manusia yang punya sejarah gelap sendiri. Ada yang kaya, meninggalkan kekayaan. Ada yang disingkir dari keluarga. Berbagai-bagai. Kaki mabuk, panas-baran, pencuri semua ada. Tetapi Rasulullah memberikan manusia ruang untuk berubah.

Ini sesuatu yang menarik apabila dibandingkan dengan zaman kita. Hari ini kita bercakap tentang ‘healing’, ‘move on’, ‘second chance’ untuk menjadi versi diri yang lebih baik. Mentelah pula zaman internet ini menyimpan banyak rekod yang membuatkan kita tidak mudah melupakan kesalahan manusia lain. Seseorang mungkin sudah berubah tetapi hantaran Facebook 15 tahun dahulu boleh digali semula. Kenyataan bodohnya ketika muda boleh dimainkan kembali. Kesalahannya bertahun-tahun dahulu boleh menjadi identitinya sampai bila-bila.

Dalam politik lebih-lebih lagi. Seseorang yang pernah berada dalam parti tertentu, pendirian lamanya akan dikeluarkan untuk dibuktikan bahawa dahulu dia cakap lain, sekarang pendiriannya lain. Dari satu segi, kita selalu berharap manusia patut berubah tetapi ada ketikanya kita marah pula apabila manusia benar-benar berubah.

Kalaulah manusia tidak dibenarkan berubah, atau sentiasa dikenang zaman gelapnya pastilah sebahagian besar para sahabat ini tidak ada dalam catatan yang kita rujuk selama ini.

Kebetulan Maulidur Rasul kali ini berdekatan dengan tarikh Hari Kebangsaan negara kita, pasti kita boleh mengambil iktibar daripada dua sejarah besar ini untuk kita renungi. Lebih-lebih lagi baginda bukan sahaja menunjukkan bagaimana seseorang boleh bangkit daripada titik terendah tetapi juga mengajar bagaimana kita sepatutnya melihat manusia yang sedang berusaha keluar daripada sisi gelap dengan positif tanpa buruk sangka. Dan untuk kita sedar bahawa pusingan roda hidup kita sentiasa berputar agar kita lebih bersedia menghadapi apa saja dan di titik mana ia berhenti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.