Ahli ekonomi berkata persaingan lebih sihat boleh tingkat kualiti dan beri pengguna lebih banyak pilihan apabila kuasa pemain dominan dikawal.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, kartel lazimnya mengehadkan persaingan dalam pasaran, sekali gus mengurangkan pilihan pengguna dan memberi ruang kepada pemain tertentu menguasai harga.
Katanya, penguatkuasaan lebih tegas menerusi pindaan Akta Persaingan 2010 berpotensi mewujudkan pasaran lebih terbuka dan kompetitif.
“Kesan apabila akta ini dipinda akan berlaku harga lebih rendah di pasaran, pilihan lebih banyak, kualiti meningkat dan produktiviti serta inovasi meningkat,” katanya kepada FMT.
Pada 27 Julai lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Persaingan (Pindaan) 2026 yang antara lain memperkukuh peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menangani isu persaingan pasaran dan penguasaan pemain dominan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata Akta Persaingan 2010 memberi tanggungjawab kepada suruhanjaya itu untuk melindungi proses persaingan dalam perniagaan, termasuk memastikan syarikat dominan tidak menyalahgunakan kedudukan mereka.
Barjoyai berkata, manfaat kepada rakyat tidak seharusnya dilihat dari sudut harga semata-mata kerana persaingan sihat juga boleh meningkatkan nilai yang diterima pengguna bagi setiap ringgit dibelanjakan.
“Dalam jangka panjang, persaingan yang sihat meningkatkan ‘consumer surplus’ kerana pengguna mendapat lebih banyak nilai daripada setiap ringgit yang dibelanjakan,” katanya.
Beliau berkata, pasaran lebih terbuka juga boleh membuka ruang kepada lebih ramai pemain termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaing dengan syarikat besar.
“Apabila persaingan meningkat, ia dapat membuka peluang masuk lebih ramai pemain dalam sesuatu industri.
“Ia menghasilkan inovasi dan produktiviti, seterusnya harga dan kualiti lebih baik,” katanya.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, manfaat kepada PKS tidak bergantung persaingan semata-mata kerana perniagaan kecil masih memerlukan sokongan untuk memanfaatkan ruang pasaran yang terbuka.
“Ia perlu disokong dengan akses pembiayaan, teknologi, bakat, pasaran dan perolehan terbuka supaya PKS mampu menggunakan ruang diwujudkan,” katanya.
Katanya, keberkesanan pindaan undang-undang itu juga tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah denda dikenakan terhadap syarikat.
“Ukuran lebih penting ialah sama ada kes kartel dan amalan antipersaingan berulang dapat dikurangkan, selain tempoh siasatan dan penyelesaian menjadi lebih pantas,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.