Menteri Kuskop Steven Sim berkata, 222 pusat Nadi sedia bantu peniaga dalam urusan pembiayaan, lesen dan program kerajaan.

Sim berkata, perkhidmatan baharu Pusat Rujukan Inklusif Usahawan Madani (PRIME) di 222 pusat Nadi di seluruh negara akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi perniagaan kecil, peniaga dan penjaja yang mencari maklumat atau bantuan.
“Kamu fokus sahaja berniaga. Jika ada sebarang pertanyaan, datanglah ke Nadi dan tanya pegawai kami,” katanya pada majlis pelancaran PRIME hari ini.
Beliau berkata, usahawan boleh memanfaatkan pusat tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan, pelesenan, latihan, pendigitalan serta pelbagai bentuk bantuan kerajaan lain tanpa perlu berurusan dengan pelbagai agensi berbeza.
“Jadi, datanglah ke 222 pusat Nadi. Kami ada pegawai terlatih untuk jawab soalan kamu, terutamanya mengenai permohohan daripada usahawan dan perniagaan kecil,” katanya.
PRIME merupakan inisiatif diterajui Institut Keusahawanan Negara (Insken) dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bermatlamat menjadikan pusat Nadi sebagai pusat rujukan sehenti pada peringkat komuniti untuk usahawan.
SKMM menyediakan rangkaian dan kemudahan Nadi di seluruh negara, manakala Insken menyumbang kepakaran pembangunan keusahawanan serta latihan kepada pegawai Nadi yang akan bertindak sebagai petugas barisan hadapan PRIME.
Sim berkata, kerajaan menyasarkan antara 30,000 dan 50,000 usahawan akan memanfaatkan perkhidmatan PRIME menjelang akhir tahun ini. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.