Permohonan lengkap bagi kategori itu lazimnya diproses dalam tempoh kira-kira 60 hari bekerja, kata TalentCorp.

TalentCorp berkata, permohonan lengkap bagi kategori itu lazimnya diproses dalam tempoh kira-kira 60 hari bekerja, tertakluk kepada jadual mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
Menurutnya, proses itu melibatkan semakan permohonan dan dokumen sokongan sebelum dibawa ke peringkat penilaian dan keputusan.
“Bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia di luar negara yang memohon melalui REP, proses tersebut turut melibatkan keperluan pendaftaran profesional untuk menjalankan amalan perubatan di Malaysia.
“Ini termasuk, jika berkenaan, pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan Daftar Pakar Kebangsaan (NSR),” katanya dalam kenyataan.
TalentCorp berkata, permohonan kategori berkenaan turut melalui penilaian teknikal tambahan menerusi Joint Working Committee for Healthcare Talent (JWC-HT), yang menghimpunkan TalentCorp, Kementerian Kesihatan (KKM), MPM serta badan kawal selia dan profesional kesihatan berkaitan.
Sejak REP dilaksanakan pada 2011, sebanyak 774 permohonan daripada profesional perubatan dan penjagaan kesihatan diterima, dengan 495 diluluskan dan 351 pemohon sudah kembali ke Malaysia.
Menurut TalentCorp, sekiranya pendaftaran MPM atau NSR masih dalam proses, permohonan yang memenuhi syarat REP lain masih boleh diteruskan untuk penilaian dan dipertimbangkan bagi kelulusan bersyarat.
“Kelulusan penuh serta manfaat di bawah REP hanya boleh diberikan setelah pendaftaran MPM dan NSR yang berkenaan diselesaikan dan bukti pendaftaran dikemukakan,” katanya.
TalentCorp berkata, pihaknya sudah mengadakan libat urus dengan KKM bagi meneliti proses REP untuk profesional perubatan dan penjagaan kesihatan, termasuk sesi bersama ketua setiausaha KKM pada 22 Jun lepas.
Langkah itu menyusul arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyemak pengendalian permohonan TalentCorp, termasuk permohonan doktor yang mahu kembali berkhidmat di Malaysia.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, Anwar mahu Kesuma melaporkan hasil semakan berkenaan kepada Jemaah Menteri.
REP ialah program TalentCorp untuk memudah cara rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara kembali ke tanah air, termasuk melalui insentif dan kemudahan tertentu.
Antara syarat asasnya termasuk pemohon merupakan warganegara Malaysia, bekerja di luar negara sekurang-kurangnya tiga tahun dan membuat permohonan sebelum kembali ke Malaysia.
TalentCorp berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kesuma, KKM, MPM serta badan kawal selia berkaitan untuk menambah baik proses kepulangan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan.
Ia juga berhasrat bekerjasama dengan KKM menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelarasan serta membolehkan proses yang lebih pantas dan cekap. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.